SHAH ALAM: Pelantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Pas atau 'State-Goverment 4'(SG4) sewajarnya diraikan semua pihak termasuk pemimpin kerajaan dengan mengambil kira ketokohan beliau.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis melantik bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga dilihat tepat.

"Sewajarnya, pelantikan Tun Dr Mahathir ini diraikan oleh semua pihak dan bukannya dikecam atau dikaitkan dengan perseteruan politik negara yang tidak berkesudahan. Rasional bagi cadangan ini adalah untuk meletakkan beliau bagi menghubungkan empat negeri berkenaan dengan pelabur seperti negara Jepun dan Korea Selatan yang beliau mempunyai hubungan yang amat baik.

"Jelas di sini tindakan melantik Tun (Mahathir) bukanlah satu langkah politik tetapi lebih kepada fokus untuk keempat-empat negeri ini mendapat akses kepada pelaburan negara maju Asia lain yang akan memberikan impak positif kepada pembangunan negeri.

"Pada hemat saya, ini merupakan langkah yang amat tepat kerana sehingga kini, Tun masih lagi berpengaruh di peringkat antarabangsa, yang mana beliau masih lagi mempunyai hubungan erat bukan sahaja dengan negeri-negeri maju di Asia tetapi juga dengan negara-negara Eropah, Arab, Afrika dan juga Amerika Latin," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Khamis lalu, Menteri Besar Terengganu Ahmad, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dalam proses membentuk 'kumpulan empat negeri' dengan Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat tidak rasmi.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil memberi pandangan berhubung pelantikan Dr Mahathir oleh empat negeri berkenaan.

Sementara itu, Zuraida dalam kenyataan sama turut menyelar respons negatif yang diberikan beberapa pemimpin kerajaan berhubung pelantikan berkenaan apabila mengaitkannya dengan isu politik.

Jelasnya, ketokohan Dr Mahathir yang dikenali dunia sewajarnya diberikan tempat untuk memberi nasihat dan pandangan kerana beliau mempunyai pengalaman bukan sahaja dalam membentuk atau merangka polisi ekonomi negeri yang ampuh, tetapi juga dalam menganalisis senario politik dunia yang semakin kompleks.

"Kita sudah pun melalui pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) yang mana pemimpin-pemimpin persekutuan dan negeri telah pun diberikan mandat oleh rakyat.

"Seharusnya kita sebagai sebuah negara tidak harus lagi membincangkan isu-isu politik picisan dan pada ketika ini wajar memberikan fokus yang tidak berbelah bagi hanya kepada pembangunan sosioekonomi rakyat," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian