KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan cadangan melantik anggota kabinet dari parti pembangkang hanya akan menimbulkan suasana kelam-kabut dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Perak berkata, pelantikan anggota kabinet adalah terikat kepada perlembagaan negara berdasarkan kepada prisip tanggungjawab bersama.

"Respons saya kepada Prof Sivamurugan Pandian dari (Penganalisis Politik) USM, ialah, isu pelantikan kabinet, dia kata kena lantik dari pembangkang sama.

"Ini tidak boleh kerana perlembagaan menuntut anggota kabinet mengikat diri mereka dengan prinsip tanggungjawab bersama atau collective.

"Melantik anggota kabinet dari barisan pembangkang akan menimbulkan suasana kelam kabut," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu lagi, apabila perlembagaan menyatakan anggota kabinet tertakluk kepada prinsip berkenaan, ia bermakna perlembagaan tidak membenarkan pelantikan sedemikian.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Abdul Aziz menyifatkan langkah berkenaan sebagai sesuatu yang baik dan perlembagaan negara tidak menghalangnya.

"Malah, ia pernah dilakukan sebelum ini iaitu ketika Tun Hussein Onn pada 1976 dan Tun Abdullah Badawi pada 2003. Itu dilakukan selepas kedua-dua Perdana Menteri dilantik secara formal oleh Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.

BACA: Kabinet Ismail Sabri sepintas lalu, tiada Timbalan Perdana Menteri

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembentukan Kabinet baharu yang dibarisi 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri.

Bagaimanapun, tiada lantikan jawatan Timbalan Perdana dibuat dalam pengumuman itu.