PKR mengesahkan semua lantikan politik melibatkan parti itu di Kelantan akan mengekalkan jawatan masing-masing.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan Abdul Aziz Abd Kadir berkata keputusan itu dibuat ekoran kenyataan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob sebelum ini, yang menyatakan bahawa kerajaan negeri pimpinan PAS masih memerlukan kerjasama PKR.

Jelas Abdul Aziz, biro politik PKR yang bermesyuarat pada Selasa malam juga bersetuju untuk mengekalkan beliau sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan.

“Saya dan wakil Majlis Pimpinan Negeri Kelantan (MPN) termasuk Ketua Angkatan Muda dan Ketua Wanita telah hadir dalam Mesyuarat Biro Politik Pusat pada 15 Ogos.

“Biro Politik telah dimaklumkan dan diberikan penjelasan mengenai senario politik semasa di negeri Kelantan,” kata Abdul Aziz.

Menurut Abdul Aziz, berdasarkan penjelasan yang diberikan, Biro Politik PKR yang diketuai oleh presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudian membuat keputusan mengenai kedua-dua perkara tersebut.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Presiden PKR dan Biro Politik Pusat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus memimpin MPN Negeri Kelantan.

“Saya bersama MPN Negeri Kelantan akan terus komited untuk memperkukuh kedudukan PKR di negeri Kelantan khususnya dalam menghadapi PRU-14,” katanya.

Mei lalu, Biro Politik PKR telah mengeluarkan arahan kepada PKR Kelantan supaya meletakkan jawatan yang diperolehi melalui lantikan politik ekoran berakhirnya kerjasama antara parti itu dengan PAS.

PKR Kelantan diberikan tempoh sehingga hujung Julai lalu untuk melepaskan jawatan lantikan politik namun tiada seorang pun yang melepaskan jawatan.