KLANG: Kerajaan Perpaduan tidak akan melantik ahli politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat utama yang tersenarai di Bursa Malaysia. 

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika menyanggah kritikan berhubung isu pelantikan beberapa ahli politik ke dalam badan berkanun.

Loke menjelaskan, pihak yang melontarkan kritikan seharusnya tidak keliru antara GLC dan badan berkanun.

Namun, Menteri Pengangkutan itu menjelaskan terdapat kelonggaran yang diberikan apabila ia melibatkan badan berkanun dan kawal selia.

“Kita beri sedikit fleksibiliti pada badan berkanun, umpamanya Felcra dan juga lembaga-lembaga pelabuhan. Itu memang selama ni ada pelantikan ahli politik.

"Kita sudah tentu akan beri fleksibiliti ini kepada perdana menteri untuk mempertimbangkan pelantikan-pelantikan supaya pemimpin parti pelbagai peringkat juga boleh membantu memainkan peranan.

"Tapi satu perbezaan jelas ialah syarikat-syarikat GLC utama, sebab sekarang ini nampaknya ramai orang dah macam campur adukkan.

"Apa itu GLC? Goverment Link Companies, tetapi yang dilantik ini bukan companies, yang dilantik ini adalah badan berkanun, lembaga-lembaga dan sebagainya.

"Ini adalah lembaga kawal selian, jadi ada perbezaan di sana," katanya pada sidang media selepas melancarkan Konvensyen DAP Selangor 2023 di Klang pada Ahad.

Loke juga menjelaskan, Kementerian Pengangkutan tidak akan melantik ahli-ahli politik ke dalam GLC di bawah kementerian tersebut.

"Di bawah Kementerian Pengangkutan, umpamanya Prasarana kita tak akan lantik ahli politik. Tak ada pelantikan politik dalam Prasarana, tak ada pelantikan politik dalam MAHB. Ini jelas.

"Kalau dulu, petandbiran dahulu anda tahu siapa yang jadi pengerusi Prasarana. Sekarang, tidak. Siapa Pengerusi Prasarana ketika ini? Kita kekal dengan Tan Sri Jamaluddin, seorang profesional," katanya lagi.

Isu ini timbul selepas kerajaan Datuk Asyraff Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Mara, Datuk Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra dan Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Selain itu terdapat spekulasi Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad akan dilantik sebagai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).