KUALA LUMPUR: DAP telah mengarahkan peguamnya meneliti larangan perhimpunan sosial di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjelaskan peguam parti itu akan mengkaji sama ada larangan dan sekatan berat kepada calon untuk bertemu pengundi adalah sah dan mematuhi peraturan serta peraturan pilihan raya.

Guan Eng juga menjelaskan pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat untuk membincangkan sekatan yang dianggap tidak adil dan tidak demokratik.

Beliau juga menegaskan sekiranya Khairy benar-benar bimbang tentang risiko jangkitan baharu COVID-19, beliau sepatutnya tidak membenarkan pilihan raya diadakan.

BACA: PRN Melaka: Perhimpunan berkaitan pilihan raya dilarang mulai 25 Okt

“Khairy tidak berani melakukannya kerana beliau tahu bahawa ini akan menyalahi undang-undang, oleh sebab itu dia menggunakan taktik yang tidak beretika dan berat sebelah untuk menguntungkan kerajaan,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran jentera pilihan raya DAP di Melaka.

Guan Eng berkata, parti yang berada dalam kerajaan mungkin takut menghadapi pengundi kerana telah menyebabkan kejatuhan Kerajaan Negeri Melaka dan kegagalan dalam pentadbiran seperti pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Tetapi kerajaan tidak boleh membiarkan ketakutan untuk menghadapi pengundi sehingga melanggar demokrasi dan mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjalankan pilihan raya dengan adil, bebas dan saksama," katanya lagi.

Katanya, Khairy mengambil alih peranan SPR dan mempersendakan demokrasi dan keseluruhan proses pilihan raya.

“Lebih baik Khairy sahaja menjalankan keseluruhan proses pilihan raya dan bukannya SPR.

“Larangan Khairy mengingatkan kita tentang Malaysia di bawah ‘total lockdown’. Sekarang apabila Malaysia dibuka semula tanpa sebarang ‘lockdown’, mengapa ada ‘total lockdown’ yang dikenakan dalam kempen pilihan raya?

“Jelas ini adalah gambaran yang bercanggah tentang sebuah negara, dua sistem berbeza. Mengapa membenarkan pilihan raya diadakan terlebih dahulu?” katanya.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas Adun itu ialah Datuk Seri Idris Haron (Sg Udang-BN), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-BN), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu).

 
Sumber Facebook limguaneng.malaysia