KUCHING:Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Larry Sng hari ini meminta pimpinan parti di peringkat pusat memilih calon baharu dalam kalangan pemimpin Dayak bagi mengetuai jentera parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri.

Larry yang juga Ahli Parlimen Julau berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau membuat pertimbangan mendalam.

Menerusi hantaran di akaun Facebook, Larry yang dilantik ke jawatan tersebut setelah pemecatan Baru Bian memberitahu, majoriti rakyat Sarawak adalah Dayak; yang mewakili 43 peratus penduduk, manakala masyarakat Melayu dan Cina hanya sekitar 24 peratus.

“Pun begitu, kawasan termiskin dan paling mundur di negeri ini berada dalam kawasan Dayak luar bandar," katanya.

Tegasnya, suku kaum Dayak juga tidak diwakili dalam kepimpinan tertinggi bagi kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang.

“Presiden parti dan pengerusi dalam Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Demokratik Progresif (PDP); Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP); Parti Keadilan Rakyat (PKR); Parti Tindakan Progresif (DAP); Parti Sarawak Bersatu (PSB); Parti Bumi Kenyalang (PBK), Amanah adalah daripada kalangan Melayu atau Cina, walaupun parti mereka sebahagian besarnya disokong oleh Dayak.

Dengan gerakan perubahan dalam kepimpinan PKR Sarawak, Larry yakin ia akan memberi manfaat dan kelebihan dari sudut kredibiliti sekali gus memerangi ketidaksamaan ekonomi di sektor ekonomi, pengambilan dan kenaikan pangkat perkhidmatan awam serta keazaman pihaknya memperjuangkan hak tanah adat bumiputera.

"Biarpun  saya merupakan wakil rakyat dalam kerusi parlimen dominan Dayak dan berpengalaman di peringkat pentadbiran negeri, saya yakin parti ini akan dapat mencari pengganti yang baik.

“Kita tidak seharusnya terus menjadikan pembelotan Ahli Parlimen dari Puncak Borneo, Saratok, Lubok Antu dan Selangau sebagai alasan untuk menolak kepimpinan Dayak dalam PKR Sarawak.

Katanya, kesilapan segelintir pihak itu tidak sepatutnya dibebankan kepada bahu ramai ahli parti. Malah, beliau yakin rakyat akan kembali mengundi PKR Sarawak, untuk mewakili mereka di kawasan-kawasan yang telah 'hilang' (akibat pembelotan).

Dalam pada itu, Larry menambah, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peralihan kuasa dan pemilihan pengganti.