Skip to main content

Politik

Lee Chean Chung letak jawatan Ahli MPP PKR, hilang kepercayaan pimpinan parti

https://www.facebook.com/photo/?fbid=1243129287166809&set=a.276902970456117
Mengulas hala tuju selepas peletakan jawatan sebagai Ahli MPP PKR, Lee menegaskan beliau akan terus menjalankan peranan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya dan ahli biasa PKR. - Facebook Lee

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat berkuat kuasa serta-merta selepas 18 tahun bersama parti itu dan lapan tahun memegang jawatan di peringkat pusat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan kekal sebagai ahli PKR serta terus menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen sehingga Parlimen dibubarkan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Lee berkata keputusan itu dibuat selepas beliau hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti yang didakwanya gagal tampil membetulkan kesilapan serta memberikan penjelasan berhubung beberapa isu yang dibangkitkannya.

"Antara perkara yang mencetuskan kekecewaan ialah pembatalan akses sistem MyKhas bagi kawasan Parlimen Petaling Jaya pada 29 Mei lalu, yang menurutnya menjejaskan urusan peruntukan kawasan dan pelaksanaan Program Mesra Rakyat.

"Sehingga kini saya masih belum menerima penjelasan rasmi daripada PKR mengenai perkara tersebut, selain kenyataan seorang Timbalan Setiausaha Agung yang menyifatkan situasi itu sebagai akibat daripada pilihan politik," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengimbau perjalanan politiknya sejak menyertai PKR, termasuk berkhidmat sebagai pegawai penyelidik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 2008 dan 2011 sebelum kembali ke Kuantan dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu pada Pilihan Raya Umum 2013.

Lee berkata, pada ketika itu perjuangan parti banyak bergantung kepada sumbangan akar umbi dan usaha sukarelawan, termasuk penjualan akhbar Suara Keadilan, kutipan dana melalui jualan amal serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi mengukuhkan sokongan rakyat terhadap gerakan Reformasi.

Beliau juga mengimbau penglibatannya dalam pelbagai kempen dan gerakan parti, termasuk program #KenaliKeadilan, kempen #KitaLawan selepas pemenjaraan Anwar pada 2015 serta usaha memperjuangkan isu alam sekitar di beberapa lokasi termasuk Tasik Chini dan Baram, Sarawak.

Menurut Lee, beliau pernah berdepan risiko kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat apabila didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman susulan penglibatannya dalam siri himpunan menuntut pembebasan Anwar dan reformasi institusi.

 

 

 

 

Selepas PKR menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan pada 2018, Lee dilantik sebagai Bendahari Agung parti sebelum kemudiannya memegang jawatan Pengarah Komunikasi pada 2022.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu pelbagai usaha dilakukan untuk memperkukuh organisasi parti termasuk memperkenalkan Geran Impak Keadilan serta membentuk pasukan komunikasi pelbagai bahasa bagi memperluaskan capaian penerangan parti.

Mengulas hala tuju selepas peletakan jawatan itu, Lee menegaskan beliau akan terus menjalankan peranan sebagai Ahli Parlimen dan ahli biasa PKR.

"Fokusnya kini adalah untuk memastikan beberapa agenda reformasi utama dapat diteruskan, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.

“PKR hari ini bukan lagi PKR yang saya kenali dahulu. Saya sudah tidak mampu lagi untuk terus berada dalam kepimpinan dan bekerjasama dengan mereka,” ujarnya.

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement