KUALA LUMPUR:Semua parti politik perlu menjadikan agenda menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat dalam menghadapi wabak COVID-19 sebagai keutamaan tertinggi mereka, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau menjelaskan perkara itu perlu dijadikan keutamaan supaya Malaysia mampu untuk bangkit semula dengan pemulihan yang pantas dan menyeluruh dalam era pasca-pandemik.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyarankan persidangan Khas Parlimen diadakan dalam masa lebih kurang seminggu daripada sekarang.

"Ini kerana dengan trajektori peningkatan kes semasa, Malaysia mungkin akan mencatatkan kira-kira 200,000 ke 250,000 kes COVID-19 ketika sidang parlimen Mac nanti.

"Malaysia perlu mengelak dari menyebabkan peningkatan kes baru COVID-19 dengan tidak mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.

"Rakyat Malaysia berhak untuk bertanya kepada parti-parti politik adakah mereka mampu mencapai konsensus nasional bahawa PRU15 tidak boleh diadakan semasa negara kita berhadapan dengan wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kit Siang juga mengingatkan semua parti-parti politik bahawa gelombang ketiga COVID-19 di negara ini disebabkan oleh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September lalu.

Hujah beliau, pada 1 September tahun lepas, Malaysia mencatatkan sejumlah 9,534 kes COVID-19 dengan 128 kematian, dan kadar kenaikan kes baharu harian dalam julat dua angka dengan 14 kes baharu dan hanya satu kematian.

Namun begitu jelas beliau, PRN Sabah mengubah sama sekali keadaan COVID-19 dalam negara, sehingga mencatatkan 2,027 kes baharu dengan lapan kematian pada Selasa.

Beliau juga menarik perhatian ramai dengan festival muzik tanpa sebarang sekatan protokol kesihatan yang dihadiri oleh lebih daripada 30,000 orang di New Zealand ketika seluruh dunia menyambut kedatangan 2021 dengan muram.

Kit Siang percaya negara juga boleh menyertai New Zealand dalam menyambut tahun baharu sebagai sebuah negara yang berjaya mengawal penularan wabak COVID-19 jika tidak kerana kesilapan besar yang menyebabkan berlangsungnya PRN Sabah.