Ketua Pemuda Harapan Nasional Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan pendekatan 'listening tours' sebagai cara terbaik untuk mendekati masyarakat di Tanjung Piai sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen tersebut, 16 Nov depan.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pihaknya sudah melakukan persediaan awal bermula dua minggu lepas dalam memastikan perancangan dapat dijalankan dengan lancar.

"Kita sudah bekerjasama dengan bilik gerakan di sini (Parlimen Tanjung Piai) sejak dua minggu lepas dan kalau boleh, kita hendak rancakkan sebanyak mungkin dan saya sudah maklumkan kepada pimpinan muda kita bukan sahaja Armada tetapi termasuk Pemuda Harapan, cara terbaik (dekati masyarakat) adalah menerusi 'listening tours' di mana kita jangan tidur di hotel atau hostel."

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri program #YouthPower di Kompleks Penghulu Mukim Serkat, di sini pada Sabtu.

Syed Saddiq berkata pihaknya kini sedang dalam proses mengenal pasti beberapa buah rumah dan penduduk untuk dipilih sekali gus menjadi program 'anak angkat'.

"Melalui program ini, kita perlu pasang telinga, mendengar masalah, rintihan dan itu cara terbaik untuk kita akrab dengan mereka yang kita panggil program anak angkat yang kita hendak gerakkan di seluruh kawasan di Tanjung Piai," katanya.

-- BERNAMA