Kelantangan mengkritik pentadbiran kerajaan di khalayak umum menyumbang kepada pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada barisan kabinet.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berkata, sebagai individu yang berpengaruh, tindakan itu secara langsung memberi impak negatif kepada negara.

Menurut Najib, beliau terbuka menerima kritikan dan pendapat yang berlainan tetapi ia tidak wajar dilakukan dalam landasan yang terbuka.

"Saya boleh terima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagaian daripada proses dalam membuat keputusan, namun sebagai anggota kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutmya dilakukan di forum terbuka yang boleh jejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara,"

"Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama," ujar Najib ketika mengumumkan rombakan kabinet baharu di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui, keputusan untuk menggantikan jawatan nombor dua dalam kabinet bukan sesuatu yang mudah.

"Keputusan menggantikan Tan Sri Muhyiddin merupakan satu keputusan yang amat sukar tetapi terpaksa saya lakukan agar jemaah menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu," katanya.

Perdana Menteri turut menyeru jemaah menteri yang baharu, bergerak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan demi kelangsungan agenda pembangunan negara serta menguruskan isu berbangkit supaya dapat bertindak dengan berkesan.

Pada masa sama, Najib mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas perkhidmatan yang diberikan beliau selama dalam kabinet.

"Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas khidmat bakti yang dicurahkan oleh Tan Sri Muhyiddin, begitu juga oleh Menteri dan Timbalan Menteri yang kini tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan,"

"Insha'Allah, saya yakin, senarai kabinet yang baharu ini dapat meneruskan hasrat kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan, meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional. Terima kasih," ujarnya mengakhiri sidang media khas berkenaan.