KOTA KINABALU: Petisyen Pilihan Raya yang difailkan berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini hari ini.
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Amelati Parnell yang membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan pihak responden berhubung petisyen yang difailkan oleh Md Bustan @ Industan Lumantang.
Advertisement
Dalam keputusan tersebut, mahkamah memutuskan bahawa petisyen itu gagal mematuhi keperluan mandatori di bawah Peraturan 3(1) dan 3(2) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954 yang mengawal tatacara pembentangan sesuatu Petisyen Pilihan Raya serta Peraturan 4 Peraturan-Peraturan yang sama, yang mensyaratkan supaya petisyen memperincikan fakta-fakta material yang mencukupi bagi menyokong sesuatu cabaran pilihan raya.
Dalam penghakimannya, mahkamah bersetuju bahawa pematuhan terhadap peruntukan-peruntukan tersebut merupakan syarat asas untuk membolehkan bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya dipanggil.
Kegagalan untuk membentangkan petisyen dengan sempurna dan memperincikan fakta-fakta material yang mencukupi menjadikan petisyen tersebut cacat dari segi prosedur dan tidak mampan di sisi undang-undang.
Justeru ia wajar dibatalkan pada peringkat awal tanpa perlu diteruskan kepada perbicaraan penuh.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh Sandhu kekal sebagai wakil rakyat yang sah seperti yang telah diumum dan diwartakan sebelum ini.
Dalam keputusan tersebut, mahkamah turut memerintahkan pihak pempetisyen membayar kos sebanyak RM10,000 kepada empat responden.
Pempetisyen diwakili oleh Jay Dee Allen James daripada Tetuan Sazalye Donol, Muhammad & Co manakala responden pertama hingga ketiga diwakili oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Peguam Negara iaitu Nurul Atiqah Azizan, Anis Najwa Nazari, Khairun Neesha Raj Mohamed dan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki.
Responden keempat, Anil diwakili oleh pasukan guaman yang diselaraskan oleh Mohd Reduan Aklee selaku penyelaras utama dan peguam terdiri daripada Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Nooraihan Mohammad serta Wong Chik Kien daripada Tetuan JPKERUAK.
Sebelum itu, petisyen difailkan pada 29 Disember tahun lalu iaitu mencabar keputusan pilihan raya dengan mendakwa wujud ketidakpatuhan terhadap undang-undang pilihan raya berkaitan penemuan beberapa kertas undi yang didakwa mempunyai nombor siri yang sama di salah satu saluran mengundi di Kunak dan seterusnya mendakwa timbul keraguan terhadap integriti proses pengundian.
Sementara itu, Anil yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah turut hadir ke mahkamah menyatakan rasa syukurnya terhadap keputusan tersebut.
"Saya cukup berpuas hati dan merasa lega dengan keputusan hari ini. Apa yang diputuskan di mahkamah tadi, saya yang menang dan saya juga yang patut teruskan di penggal ini di DUN Kunak sebagai wakil rakyat yang sah.
"Dengan ini, saya akan fokus dan terus berbakti di DUN Kunak serta kerajaan perpaduan Madani di Sabah dan juga Barisan Nasional (BN)," katanya. - Sinar Harian