KUALA LUMPUR: Usaha mencari titik persefahaman perlu dilaksanakan bagi meredakan ketegangan politik negara ketika ini, yang menyukarkan agenda memulihkan negara dari pandemik COVID-19.

Justeru, Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Ahmad Marthada Mohamed berpendapat, Majlis Raja-Raja boleh menjadi pihak ketiga dan mengambil peranan membawa blok kerajaan dan pembangkang untuk duduk semeja bagi mewujudkan gencatan politik.

"Mungkin sudah sampai masa kita memerlukan pihak ketiga untuk hentikan sengketa dan membawa kerajaan dan pembangkang bekerjasama.

"Krisis kesihatan yang berlaku sekarang memang satu perkara di luar jangkaan, bukan sahaja di Malaysia tetapi negara lain juga. Tetapi bezanya di negara kita, tiada kerjasama antara kerajaan dan pembangkang.

"Masing-masing sibuk bercakaran sehingga kerajaan sukar untuk memberi tumpuan kepada agenda membantu rakyat dan menangani COVID-19.

"Titik persefahaman yang diperlukan ialah kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang, sedar yang perkara utama sekarang ialah kebajikan rakyat.

"Selagi tak ada kesedaran itu, kerjasama takkan terjadi kerana mereka tidak berada dalam kalangan rakyat dan tidak rasa penderitaan rakyat," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.

Ujarnya, apa sahaja perselisihan faham antara institusi diraja dan kerajaan perlu diselesaikan dengan bijak terutama ketika rakyat kini dilihat semakin lelah untuk bertahan dengan pelbagai krisis yang melanda.

"Sistem pentadbiran kita sudah teratur, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Pembahagian kuasa antara ketua negara dan ketua kerajaan juga jelas, cuma mungkin timbul salah faham kerana pentafsiran terhadap undang-undang kadangkala berbeza.

"Tetapi kita harap ia boleh diselesaikan dengan bijak dan berhemah, dan tidak ada pihak yang cuba menangguk di air keruh demi kepentingan peribadi," tegasnya.

Tambah Ahmad Marthada, tugas ahli politik sudah semestinya tidak boleh lari daripada berpolitik, namun dalam situasi semasa, masyarakat kini dapat membezakan antara pemimpin berjiwa besar dan pemimpin yang hanya mementingkan kuasa.

"Tak boleh nafikan, agenda mana-mana ahli politik pun sudah pastilah mahukan kuasa. Tetapi bagi mereka yang berjiwa besar, dalam situasi sekarang, mereka akan buang kepentingan dan agenda peribadi, henti berpolitik buat sementara waktu dan fokus membantu rakyat," katanya lagi.


Di Talian | Henti perang politik ketika pandemik