Malaysia tidak mengamalkan sistem pungutan suara, terutama yang dijalankan oleh sebuah syarikat tinjauan pendapat antarabangsa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata tidak ada negara di dunia yang melakukan amalan itu termasuk negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau United Kingdom.

"Haruskah kita sekarang meminta syarikat asing yang menjalankan pungutan suara mengambil alih tugas daripada SPR (Suruhanjaya Pilihanrraya) bagi mengendalikan pilihan raya umum akan datang di Malaysia pada 2018?

"Walaupun kita mempunyai sistem pungutan suara di Malaysia, SPR yang sepatutnya menjalankannya dan bukan syarikat asing. Jika tidak, ia tidak akan terikat secara sah.

"Adakah Parlimen sekarang diminta untuk meluluskan undang-undang baharu untuk menerima pakai sistem pungutan suara dan menjadikannya terikat di bawah perlembagaan?

"Bagaimana pula jika Sabah dan Sarawak, atau mungkin Pulau Pinang, memutuskan untuk mengambil kesempatan daripada undang-undang baharu ini dan mengadakan pungutan suara sama ada untuk keluar dari Malaysia?

"Dan bagaimana jika majoriti mengundi untuk keluar dari Malaysia? Adakah ia terikat di bawah undang-undang?" kata beliau menerusi catatan dalam blognya, sskeruak.blogspot.com.

Mengenai catatan terkini Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blog beliau, "Pemecatan dan Populariti", Salleh berkata bekas Perdana Menteri itu nampaknya tidak sedar mengenai perkara tersebut dan bahawa komen beliau kini kurang logik.

"Dr Mahathir menjadikannya sebagai pertandingan menguji populariti antara beliau dan Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak. Adakah ini yang dimaksudkan, pertandingan populariti?" katanya.

Mahathir dalam blognya berkata pungutan suara kebangsaan perlu dijalankan oleh sebuah syarikat tinjauan pendapat asing yang boleh dipercayai, dan jika Najib menang dalam pungutan suara kebangsaan, beliau akan berhenti mendesak Najib meletak jawatan.

Salleh menegaskan bahawa kerajaan tidak dibentuk dan Perdana Menteri tidak dipilih berdasarkan undi popular.

"Ia adalah berdasarkan kerusi majoriti di Parlimen. Mana-mana ahli politik yang baharu tahu mengenai perkara ini. Jadi saya terkejut Mahathir masih berpendapat bahawa undi popular memutuskan siapa yang boleh membentuk kerajaan," katanya.