KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan wujud dua kem dalam UMNO.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri itu menegaskan parti keramat Melayu itu hanya dipimpin oleh satu kem.

“… mana ada kem. Satu kem (sahaja) dalam UMNO. Jadi tiada kem dalam UMNO,” kata Ismail Sabri secara ringkas kepada pemberita, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kali ke-42 di Auditorium Balai Ungku Aziz, Universiti Malaya (UM), di sini.

Terdahulu, sebuah akhbar menyiarkan kenyataan penganalisis politik yang berpendapat pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman mengenai isu dalaman UMNO memperlihatkan parti itu kini berpecah kepada dua kem.

Satu daripada kem itu dikatakan menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sementara satu lagi kem menyokong kepemimpinan Ismail Sabri.

Ditanya mengenai usaha menjadi orang tengah untuk memulihkan hubungan antara Tajuddin dan Ahmad Zahid, Ismail Sabri berkata:  “Tak timbul isu tengah, tepi ke, sebab perkara itu saya ingat tiada siapa dah bercakap mengenainya.”

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan meluluskan pindaan perlembagaan UMNO pula, Ahli Parlimen Bera itu berkata ketika ini parti masih belum menerima sebarang makluman daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Belum dapat lagi, dia dalam masa 60 hari, kalau tak silap saya sehingga 16 Julai ini.

“Jadi, sebelum itu masih menunggu lagi,” kata Ismail Sabri.

Pada 15 Mei lepas, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas secara rasminya meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Usul itu diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC).