PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan pemimpin politik yang seolah-olah menggunakan agama untuk 'membenarkan' salah guna kuasa dan rasuah.

Tegas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, tidak mungkin mana-mana agama digunakan untuk mempertahankan rasuah dan salah guna kuasa apatah lagi Islam yang sememangnya tegas menentang kesalahan itu.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, semua pihak seharusnya bekerjasama untuk menentang salah laku sebegitu.

"Tak perlu kita tekankan perkara ini berulang kali tapi ia memang memerlukan kerjasama semua pihak.

"Beri ruang kepada badan kuasa untuk lakukan tugas mereka. Kalau bersih, tak perlu takut. Semua uar-uarkan mereka bersih dan mahu wujudkan kerajaan bersih.

"Patutnya kita sokong, berikan kuasa kepada badan penguatkuasaan untuk jalankan tugas mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini pada Isnin.

Pembekuan Akaun | Pas harap tindakan terhadap Bersatu bebas motif politik

Dalam pada itu, mengulas isu pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anwar berkata ia bukanlah isu baharu.

"Masa akaun UMNO dibekukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi Perikatan Nasional) kuat mempertahankan profesionalisme SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Sekarang akaun melibatkan Bersatu, jumlahnya besar dan dikaitkan beberapa keputusan kerajaan di bawah pimpinan beliau.

"Sepatutnya mereka bersiap untuk berikan penjelasan yang mana perlu dan jangan ganggu badan penguatkuasaan seperti PDRM, SPRM, LHDN," ujarnya.

Katanya lagi, beliau berharap masyarakat memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam urusan tata kelola dan pentadbiran yang baik.