KUALA LUMPUR: Ada tiga persoalan utama yang perlu Kerajaan, atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hasan jawab segera, tegas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu berkata, persoalan itu timbul selepas Takiyuddin sendiri menyatakan dalam Dewan Rakyat pada Isnin, enam Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lepas.

Beliau berkata, penjelasan terperinci itu perlu sebelum lebih banyak persoalan timbul di kalangan rakyat, dan Ahli-ahli Parlimen.

“Pertama, sama ada due process of law telah diamalkan, atau dilakukan. Dalam erti kata apa-apa pembatalan Ordinan Darurat, mesti mendapat limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan digazet. Ini tidak dijelaskan.

“Kedua, sama ada pembatalan Ordinan Daruat ini secara backdated atau bersifat retrospectively (ke belakang,” kata Najib lagi.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika pembatalan itu tidak dijelaskan, implikasinya terhadap apa apa tindakan yang diambil pihak berkuasa selepas 21 Julai itu, boleh dipersoalkan atau terbatal dari segi undang-undang.

Selain itu, Najib berkata, persoalan ketiga pula sekiranya keenam-enam Ordinan itu termasuk Ordinan Utama iaitu Ordinan Induk Darurat 2021.
LAPOR LANGSUNG SIDANG MESYUARAT KHAS PARLIMEN DI SINI


Beliau berkata, kesemua itu boleh menimbulkan soal kesahihan dari segi undang-undang dan keabsahan Kerajaan masa kini.
JOM PANTAU AHLI PARLIMEN ANDA SEPANJANG SIDANG MESYUARAT KHAS


Takiyuddin pada Isnin memaklumkan kepada Dewan Rakyat, kerajaan membatalkan enam Ordinan Darurat bermula 21 Julai lalu.

Takiyuddin juga mengumumkan, kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Al-Sultan Abdullah untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos depan.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen berpandangan perkara itu bercanggah dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan ia sebenarnya masih belum mendapat perkenan Agong.

Mengulas lanjut, Najib berkata, pembatalan sebarang Ordinan, serta Proklamasi Darurat itu sendiri sewajarnya mengikut proses undang-undang  iaitu - Kabinet memberi nasihat kepada Agong untuk diperkenan dan digazetkan.

“Barulah ia lengkap dari segi proses,” jelas Ahli Parlimen Pekan itu lagi, sambil menambah beliau akan membahaskan perkara itu secara terperinci pada Khamis hadapan.