SAMARAHAN: Bekas Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Michael Manyin Jawong terasa hati dengan tindakan Datuk Willie Mongin menghantar permohonan untuk menyertai parti itu.

Tambah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu itu, tindakan ahli politik itu wajar dipersoalkan kerana memaparkan kredibiliti seorang wakil rakyat yang tidak jelas serta mengelirukan.

“Saya dahulu memegang jawatan pengarah operasi pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Puncak Borneo, dan ketika itu beliau (Datuk Willie Mongin) telah memburuk-burukkan kami, sudah tentu saya terasa hati dengan beliau.

“Persoalan sekarang ialah adakah beliau memang memohon untuk menjadi calon atau memohon menjadi ahli PBB, ini adakah dua perkara yang berbeza,” jelasnya kepada media selepas Majlis Penyerahan Tapak Projek Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) di sini hari ini.

Dalam majlis yang sama, ADUN Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata keputusan untuk menerima atau menolak permohonan Willie terletak di atas bidang kuasa Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Presiden PBB.

Tegasnya, walaupun sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang lalu Willie telah membantu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah parlimennya, ia bukanlah tiket untuk menjamin beliau melangkah masuk ke dalam parti kerajaan negeri.

“Semua pihak datang membantu kami (GPS) semasa pilihan raya yang lalu termasuklah jentera parti, dan ADUN yang lain, tidak terkecuali beliau (Datuk Willie Mongin).

“Saya berterima kasih kepada semua pihak, dan ini tidak bermakna disebabkan bantuan yang diterima daripada beliau maka saya menang pilihan raya yang lalu, semua pihak ada membuat sumbangan atas kemenangan ini,” katanya.

Terdahulu, Willie telah mengesahkan permohonannya untuk menyertai PBB dan sedang menunggu maklum balas daripada pucuk pimpinan parti itu.

Willie turut mendedahkan beliau sebenarnya tidak menyertai mana-mana parti selepas meninggalkan PKR pada Februari 2020 dan hanya secara teknikal ditempatkan di bawah Bersatu untuk menyokong kerajaan hari ini.