KUALA LUMPUR: Ramai yang merasakan mereka boleh memerintah negara hanya melalui partinya sendiri tanpa kerjasama parti lain.

Pendapat itu diluahkan Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Hamidin Abd Hamid yang melihat ia menjadi punca utama mengapa banyak keputusan tidak tepat dibuat sebelum ini sekaligus meletakkan rakyat sebagai mangsa keadaan.

"Hanya satu cara untuk kita bergerak ke hadapan, iaitu kerjasama. Tak mungkin satu parti yang didominasi atau mewakili satu kaum sahaja boleh menjadi pentadbir sedangkan setiap isi negara ini adalah kepelbagaian.

"Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh perdana menteri ke sembilan nanti ialah mendapatkan mandat rakyat. Memandangkan kita tidak boleh mengadakan pilihan raya, mandat boleh diperoleh secara demokrasi melalui Parlimen.

"Kedua, beliau perlu memulakan tugas membina kesepaduan dalam konteks Kabinet dan pengurusan kerajaan. Konteks politik baharu menekankan kepada lebih banyak kerjasama bi-partisan, terutama dalam menangani isu ekonomi dan pandemik," katanya kepada Astro AWANI.

Ujarnya, apa yang harus dilalui rakyat ketika ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan itu sahaja sudah cukup untuk menyedarkan yang amalan politik lama harus dihapuskan.

"Pandemik beri ruang untuk kita buat sesuatu yang baharu, tetapi sayangnya amalan politik masih ikut tradisi lama yang akhirnya membawa kepada konflik ketika ini.

"Saya sebenarnya bimbang, dan ini memang boleh berlaku, di mana pembahagian Kabinet masih mengikut kepentingan parti, siapa yang sokong perdana menteri.

"Jika inilah asas pemilihan Kabinet, status quo akan terus berlaku dan kita tidak akan menyaksikan perubahan besar dalam politik," katanya lagi.

Tambah beliau, beberapa formula yang dicadangkan Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu seperti mewujudkan Akta Lompat Parti dan meminimumkan kuasa perdana menteri, boleh diterima pakai oleh kerajaan akan datang.

"Ketika beliau (Muhyiddin) membuat cadangan itu, masa dan tempatnya tidak kena. Tetapi jika dicadangkan oleh perdana menteri baharu, ia boleh menjadi titik tolak kepada permulaan amalan politik baharu di negara kita," ujarnya.


Politik | Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9? Reaksi Prof Madya Hamidin Abd Hamid