IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan khabar angin bahawa kononnya akan berlaku perubahan pentadbiran kerajaan negeri.

Sebaliknya, beliau berkata kesemua 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas, sepakat untuk mempertahankan kestabilan kerjasama itu.

Pengerusi BN Perak itu berkata tindakan berterusan memainkan sentimen dan polemik politik tidak akan mendatangkan manfaat kepada rakyat dan negeri, malah boleh menggugat kepercayaan pelabur.

"Oleh itu, saya menasihatkan semua pihak untuk berpolitik secara bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan polemik yang tidak mendatangkan manfaat kepada negeri, sebaliknya ia hanya mengundang perpecahan, kekeliruan dan keresahan rakyat yang sudah muak dan letih berdepan episod pergeseran politik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama ADUN kerajaan negeri, di sini, hari ini.

Pada PRU15, PH dan BN bersetuju untuk bersama-sama membentuk kerajaan Perak selepas masing-masing mendapat 24 dan sembilan kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi.

-- BERNAMA