KUALA LUMPUR: Kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan titik permulaan ke arah membina politik pembaharuan untuk Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau menganggap kemenangan itu juga adalah reset buat gabungan itu mendepani cabaran mendatang.

Menurutnya, kejayaan itu juga sebenarnya merupakan mesej daripada rakyat agar BN belajar daripada kesilapan lalu dan berani melakukan pembaharuan seperti diimpikan rakyat.

BACA: Exco Melaka diumumkan minggu depan - Sulaiman

“Semoga kemenangan ini tidak akan menjadikan BN terjerumus dalam keangkuhan kuasa (the arrogant of power).

“Rakyat menghantar berbagai mesej untuk kita melakukan muhasabah dan membetulkan diri. Rakyat sudah muak dengan politik maki hamun dan fitnah.

“Rakyat mahukan kestabilan yang berpanjangan agar dapat mengeluarkan kita dari kesusahan dan kemelaratan ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Ahad.

 
Sumber Facebook zambryabdkadir

BACA: PRN Melaka: Empat pengerusi parti negeri tewas

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Melaka kerana mengambalikan keyakinan kepada BN untuk mentadbir dengan majoriti dua pertiga.

“Terima kasih buat sekalian rakyat negeri Melaka yang melaksanakan hak demokrasi anda di tengah-tengah cabaran pandemik COVID-19.

“Terima kasih jua buat seluruh anggota barisan hadapan dan beruniform yang bekerja keras memastikan perjalanan PRN Melaka diadakan dengan baik dan lancar,” ujarnya.

PRN Melaka menyaksikan BN berjaya memperoleh kedudukan selesa dua pertiga majoriti selepas keputusan rasmi menunjukkan BN yang diwakili UMNO, MCA, dan MIC mendapat 21 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi.


AWANI Ringkas: Agenda utama BN di Melaka

PRN itu juga menyaksikan semua calon Bebas termasuk "YB Viral" Datuk Norhizam Hassan Baktee dan dua parti politik yang membuat penampilan sulung dalam pilihan raya dengan memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, berakhir dengan kehilangan deposit.

Kesemua 22 calon Bebas, lima calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan calon tunggal Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) adalah antara 34 calon yang hilang deposit dalam PRN Melaka.

Ia berlaku setelah mereka gagal memperolehi satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.