KUALA LUMPUR: Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang pada jam 11 pagi, Isnin ini.

Istana Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan bagi istiadat tersebut.

Dalam masa sama, Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Selangor akan turut berlangsung pada hari yang sama, pada jam 2 petang.

Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan memaklumkan akan mengekalkan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan Pakatan Harapan -Barisan Nasional (PH-BN) menang di Selangor.

Begitupun, media melaporkan dua lagi nama diserahkan kepada istana termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tg Sepat, Borhan Aman Shah dan Fahmi Ngah (Seri Setia).

Pada Pilihan Raya Negeri Sabtu lalu, gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.