KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat minggu lepas sepatutnya dijadikan platform untuk Ahli Parlimen bersepakat mencari jalan penyelesaian bagi menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Malangnya, sidang berkenaan telah dijadikan platform oleh pembangkang untuk melahirkan defisit kepercayaan terhadap kerajaan dan berusaha mendapatkan sokongan bagi kepentingan peribadi, kata penganalisis politik Prof Sivamurugan Pandian.

Sivamurugan berkata tindakan pembangkang mencari kesalahan secara berterusan dan berusaha mendapatkan sokongan bagi kepentingan sendiri tanpa mengemukakan cadangan penyelesaian ataupun penambahbaikan akan memberikan isyarat yang salah kepada rakyat.

"Kenapa ramai mahukan sidang khas Parlimen ini, adalah untuk memberikan keutamaan atau kepentingan kepada soal rakyat.

"Namun, isu lebih tertumpu kepada soal Ordinan tidak membawa kepada perbincangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sepenuhnya," katanya yang juga Pensyarah Sosiologi Politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sivamurugan berkata pihak kerajaan dan pembangkang harus memikirkan bentuk kerjasama ke arah memberikan keutamaan kepada soal rakyat dan mengetepikan soal politik ketika ini.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 29 Julai lepas yang sepatutnya membincangkan isu sosial ekonomi rakyat bertukar topik selepas tumpuan beralih kepada isu darurat susulan kenyataan Istana Negara dan menimbulkan kekecohan dalam kalangan wakil rakyat.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz turut melahirkan kesedihan dan kekesalan susulan kekecohan yang berlaku pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat khususnya pada Khamis lepas.

Beliau berkata pihak eksekutif (kerajaan) tidak mendapat peluang yang sewajarnya untuk menerangkan usaha yang dijalankan bagi menangani pandemik COVID-19 termasuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana terlalu banyak pencelahan daripada pembangkang.

Menurutnya, banyak masa juga dibuang untuk membuat tafsiran sendiri oleh barisan wakil rakyat dari sudut undang-undang mengenai penamatan Ordinan Darurat.

"Sikap Ahli Parlimen pembangkang yang suka mengempar-gempurkan dan memperlekehkan usaha kerajaan tidak berubah sejak dulu.

"Dalam suasana sebegini, pembangkang perlu konstruktif melontarkan cadangan untuk diambil kira oleh kerajaan. Jangan ambil peluang jadi jaguh atau juara yang akhirnya apa pun tidak menjadi," kata bekas Timbalan Menteri Kewangan itu.

Turut senada dengan beliau ialah bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor Datuk P. Kamalanathan yang berpendapat bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu sepatutnya merupakan peluang terbaik bagi semua wakil rakyat untuk mengemukakan pandangan, cadangan dan nasihat bagi membincangkan jalan keluar daripada krisis pandemik COVID-19 namun, telah disia-siakan pelbagai pihak.

"Pada saya, sesi ini sepatutnya memberi lebih fokus terhadap isu berkaitan rancangan kerajaan menangani dan mengekang penularan wabak penyakit selain masalah kesihatan, ekonomi dan kewangan teruk yang dihadapi rakyat," katanya.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu menjelaskan ideologi politik perlu diketepikan manakala dasar negara perlu diutamakan di Parlimen selain berharap sesi akan datang lebih memberi fokus kepada soal negara sekali gus membolehkan semua wakil rakyat mengalas tanggungjawab sebagai ahli Parlimen bagi kawasan masing-masing.