KUALA LUMPUR: MIC mahu memberi fokus untuk mengukuhkan parti itu sendiri, dan tidak sekadar bergantung kepada kekuatan kerajaan negeri atau Persekutuan semata-mata.

Presidennya, Tan Sri S.A Vigneswaran berkata, langkah tersebut antaranya memastikan pemikiran ahli parti berkenaan tertumpu kepada perkembangan arus perdana, selain mengukuhkan keahlian di peringkat akar umbi.

Jelas beliau, pengukuhan dalaman parti penting bagi menjamin MIC kekal relevan untuk tempoh 20 hingga 50 tahun lagi susulan dinamik politik sejak kebelakangan ini.

"Dalam masa terdekat ini iaitu dari 2018, arena politik Malaysia ini bertukar setiap dua tahun... setiap lima tahun.

"Oleh kerana itu, kita mengambil keputusan bahawa jikalau kita nak juga parti MIC dalam masa 25 tahun hingga 50 tahun, kita harus bertumpu kepada kekuatan kita untuk memastikan bahawa perjuangan parti kita ini tidak bertumpu kepada peruntukan-peruntukan lain, ataupun aktiviti lain.

"Sebaliknya, aktiviti kita sendiri sebagai satu parti yang dapat menjalankan program-program poltik dengan hasil kita sendiri," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar dan Merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-77 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC turut membuat keputusan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus ahli yang berdaftar di setiap cawangan adalah aktif.

"Ini akan membawa satu perubahan yang besar, jikalau parti MIC ini dapat menumpukan dalam masa tujuh bulan untuk memastikan semua cawangan di peringkat akar umbi, memberi tumpuan yang sama dari Perlis ke Johor, supaya aktiviti-aktiviti yang kita jalankan ini bertumpu kepada satu arus perdana iaitu menguatkan parti dari akar umbi," tambah beliau.

Selain itu, beliau berkata MIC memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan termasuk membina kolej di Selangor yang menawarkan kursus-kursus yang tidak tersenarai dalam Universiti AIMST.

Dalam masa yang sama, MIC juga kata Vigneswaran dalam proses membina hospital sendiri yang dikenali sebagai Hospital AIMST bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat khususnya komuniti India.

Universiti AIMST yang ditubuhkan pada 2001, diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan 40 program yang diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Antara bidang ditawarkan termasuklah melalui Pusat Pengajian Am dan Asasi, Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi, Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Fakulti Profesion Kesihatan Bersekutu dan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Komputer.