MIC tidak akan ikut jejak MCA - Vigneswaran

Firdaus Alauddin
Disember 3, 2018 11:55 MYT
VIGNESWARAN: MCA membuat cadangan untuk membubarkan Barisan Nasional dan ini merupakan keputusan yang diambil oleh delegasi dalam Perhimpunan Agung semalam. - Foto BERNAMA
MIC tidak akan mengemukakan sebarang cadangan supaya Barisan Nasional (BN) dibubarkan, tegas presidennya Tan Sri S A Vigneswaran hari ini.
Bagaimanapun, katanya langkah rakan komponenya MCA untuk mengemukakan cadangan itu merupakan hak parti berkenaan.
“MCA membuat cadangan untuk membubarkan Barisan Nasional dan ini merupakan keputusan yang diambil oleh delegasi dalam Perhimpunan Agung semalam.
“Walau bagaimanapun, buat masa sekarang ini saya enggan komen kerana usul pembubaran ini belum lagi dibawa oleh MCA di peringkat Barisan Nasional,’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
BACA: Apa hak MCA cadang pembubaran Barisan Nasional? - Zahid
Beliau yang juga Speaker Dewan Negara berkata, keputusan tersebut haruslah diambil secara sebulat suara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan MIC tidak mempunyai agenda bagi sebarang pembubaran dan semangat MIC tetap bersama UMNO dan juga parti-parti lain yang telah menyokong BN.
#Barisan Nasional #bubar #delegasi #MCA #MIC #perhimpunan agung #Tan Sri S A Vigneswaran #UMNO