KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan menolak rayuan permohonan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung penggantungan keahliannya.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, justeru, penggantungan Tajuddin berkuat kuasa hari ini.

Jelas beliau, keputusan tersebut dicapai selepas MKT berpandangan bahawa bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu melanggar disiplin yang terkandung dalam Perlembagaan UMNO.

“Tajuddin sebelum ini telah digantung, dan rayuan beliau telah ditolak.

“Pergantungan beliau berkuat kuasa hari ini,” katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato’ Onn di sini Khamis malam.

Sebelum ini, ahli MKT UMNO Datuk Puad Zarkashi mengesahkan Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun bersama Ketua UMNO Alor Setar Mohd Yusof Ismail.

Kedua-dua mereka dipercayai digantung kerana seringkali mengadakan kritikan terbuka terhadap kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, Isham menambah, MKT turut memutuskan bahawa UMNO bahagian Arau turut digantung.

Justeru, beliau berkata UMNO akan melantik ketua pentadbir Arau yang baharu dalam masa terdekat.

“Kita akan lantik akan ketua pentadbir secepat mungkin.

“Dalam bahagian Arau itu kita akan lantik ketua pentadbir dan mereka akan hadir sebagai pemerhati (pada Perhimpunan Agung UMNO 2022),” katanya.

Terdahulu, antara yang dilihat hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli MKT, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Datuk Seri Ahmad Said (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu); Datuk Seri Sulaiman Md Ali (Ketua Menteri); serta Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka).