MN belum serius, Kerajaan Perpaduan ikrar tumpu nasib rakyat hingga PRU16 - PM Anwar

Anwar berkata apa yang penting Kerajaan Perpaduan tetap utuh dan memberikan ikrar untuk menumpukan perhatian dalam pertumbuhan ekonomi serta pembelaan nasib rakyat sehingga PRU16. - Gambar fail/Bernama
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini tiada khabar diterima mengenai kemungkinan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan kembali.
“Itu (MN) belum serius, saya tidak mendapat maklumat lagi, itu keputusan masing-masing.
“Tetapi yang penting sekarang Kerajaan Perpaduan tetap utuh dan semua telah memberikan ikrar untuk menumpukan perhatian dalam pertumbuhan ekonomi serta pembelaan nasib rakyat sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Soal orang ada idaman, igauan, bercerai-berai (parti Bersatu-Pas) bukanlah masalah saya, itu masalah mereka, tak campur,” ujar Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, di sini, hari ini.
Sebelum ini, cadangan MN disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang berpandangan Perikatan Nasional (PN) wajar dibubarkan dan MN dihidupkan semula.
Menurut Muhamad Akmal, kemelut politik di Perlis menggambarkan keperluan untuk kembali kepada kerangka kerjasama politik yang lebih jelas dan berasaskan penyatuan Melayu serta Islam.
Saranan Muhamad Akmal itu turut disambut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan MN boleh dilancarkan sebaik sahaja UMNNO dan Barisan Nasional mengisytihar keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, saranan berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi apabila ada pihak melihat ia berpotensi memerangkap blok pembangkang sekiranya tidak diperhalusi secara menyeluruh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


