SHAH ALAM: Muafakat Nasional (MN) masih boleh diselamatkan dengan menubuhkan satu jawatankuasa perunding membolehkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk parti baharu lain seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk turut sama bergabung.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, rekonsiliasi perlu dilakukan dengan bantuan pihak ketiga terdiri daripada veteran politik, tokoh Melayu dan golongan akademik bagi menggerakkan penubuhan jawatankuasa atau perunding pemikir politik Melayu itu.

Menurutnya, untuk merealisasikan hasrat tersebut, Bersatu tidak lagi duduk sebagai Perikatan Nasional (PN) dalam usaha membina kekuatan politik Melayu Islam di negara ini.

“MN jelas dari segi solusi dan formula. Cuma yang perlu dilakukan adalah memastikan pemimpin atasan bekerjasama baik dan pemimpin bawah memahami dan akar umbi terus bersatu dalam bentuk penyatuan.

“Salah satu solusi yang boleh diambil adalah membawa Bersatu kembali kepada UMNO dan Pas iaitu sebahagian daripada gagasan MN serta Bersatu tidak lagi duduk sebagai PN.

“Maka dengan gabungan itu, ia akan membina satu kekuatan dalam MN. Bersatu boleh menjadi sebahagian daripada MN dan PN itu boleh dilihat sebagai satu satu bentuk yang mungkin tidak relevan,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan Pas dan UMNO sebagai formula terbaik,

MN kini ibarat retak menanti belah lebih-lebih lagi apabila wujud gerakan gabungan diketuai pemimpin UMNO yang mahu merampas Kelantan daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jadi teras golongan muda

Noor Nirwandy berkata, Bersatu boleh menjadi MN dan mewujudkan salah satu dominasi teras parti golongan muda yang boleh dilihat sebagai satu satu bentuk penyatuan untuk menyertai permuafakatan tersebut.

Jelasnya, MN adalah salah satu asas terbaik dan tiada masalah sekiranya membuka gabungan-gabungan kepada parti baharu serta moden dalam negara termasuk Bersatu dan mungkin Muda.

“Dengan syarat, mereka harus akur dan faham bahawa gagasan ideologi perjuangan politik negara berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Ia termasuk UMNO mendominasi perkara ini (MN) bersama dengan Pas dan parti lain yang boleh menyumbang bagi membentuk permuafakatan lebih besar serta jelas dengan agenda moden berasaskan konteks sosioekonomi, struktur budaya rakyat negara kita,” katanya.

Jelas beliau lagi, parti-parti politik perlu berperanan memastikan rakyat kembali kepada satu pegangan utama iaitu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan Rukun Negara dan menghormati elemen-elemen utama, keistimewaan-keistimewaan yang digariskan.

Katanya, ia boleh dihasilkan dalam satu bentuk proses gerak saraf oleh satu kerajaan yang kuat berasaskan politik Melayu dan Islam sebagai satu penyatuan utama dominasi dalam negara.

“Ini adalah antara salah satu solusi untuk mengembalikan kegemilangan, kestabilan dan keseimbangan politik negara serta memastikan elemen kemodenan dan keterbukaan itu dicorakkan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya.


* Artikel asal di Sinar Harian