KUALA LUMPUR: Setelah mengadakan beberapa pusingan rundingan, wakil-wakil pihak Kerajaan dan Pakatan Harapan pada hari ini telah memuktamadkan sebuah memorandum persefahaman di antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman ini pada esok jam 5 petang di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  bersama Ketua-Ketua Parti Pakatan Harapan iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Kenyataan bersama itu juga menyebut, semua pihak telah bersetuju bahawa memorandum persefahaman ini  adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara “dwipartisan“.

"Dengan  persefahaman  ini,  tumpuan  dan  keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran  kerajaan,  khususnya  memperkasakan  peranan  institusi parlimen," kata kenyataan itu lagi.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada  umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.