KUCHING: Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) semalam tidak secara rasmi melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS). kata Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata buat masa ini, GPS tidak menetapkan sebarang kata putus untuk bekerjasama dengan PSB dan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk mendengar perincian kerjasama di antara PDP dan PSB dan tidak melibatkan GPS.

"Kini wujud kerjasama antara kedua-dua parti itu...biarkanla..Masih awal untuk mengulas kerana belum dimaklumkan perincian kerjasama itu," katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Innocement Sdn Bhd dan SCG International serta YTL Cement Berhad, di sini, hari ini.

Semalam, PSB, yang hanya memenangi tiga kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2021, mengumumkan sokongan mereka kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abang Johari serta menandatangani MoU dengan PDP yang merupakan parti komponen GPS.

Dalam pada itu, Abang Johari mendedahkan sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh ada menyatakan hasrat untuk menyokong GPS selain memberitahu terdapat ahlinya yang mahu kembali kepada parti asal, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Mengakui bukan seorang pendendam, Premier Sarawak itu berkata beliau tidak menghalang sekiranya PSB mahu memberi sokongan kepada GPS, khususnya bagi menggerakkan matlamat di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) demi kepentingan rakyat dan negeri.

Abang Johari, bagaimanapun, enggan mengulas sama ada langkah kerjasama PSB-PDP berkenaan mendapat bantahan daripada parti komponen GPS yang lain iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP dan Parti Rakyat Sarawak.

"Sekurang-kurangnya, mereka (PSB) sedar kesalahan mereka kerana dulu mereka merupakan lawan saya ketika PRN. Maksudnya mereka (kini) bersetuju dengan usaha yang kita (kerajaan negeri) lakukan," katanya.

Ditanya mengenai syarat serta kebarangkalian untuk PSB menyertai GPS, beliau berkata: "Kita (GPS) ada peraturan. Lihatlah nanti."

Susulan keputusan yang dibuat PSB semalam, kini tinggal hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak iaitu Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) dan Violet Yong (DAP-Pending) daripada keseluruhan 82 ADUN.

DAP kekal sebagai pembangkang dalam DUN Sarawak tetapi merupakan sebahagian daripada komponen parti dalam Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama GPS selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

-- BERNAMA