KUALA LUMPUR: Parti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dilihat menjadi pesaing utama Perikatan Nasional dalam isu berkaitan reformasi termasuk kes mahkamah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Penganalisis politik, Prof Wong Chin Huat berpendapat, tugas berat menanti Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul  Rahman untuk membuktikan keupayaan menarik sokongan memandangkan MUDA merupakan parti alternatif untuk rakyat yang tidak berpuas hati terhadap kes DNAA.

"Itu sebenarnya bukan perkara buruk kepada PH kerana setidaknya ini bermaksud, segala yang tidak menyokong Kerajaan Madani atas isu DNAA ini, satu-satu pilihan mereka adalah PN.

"Tetapi dengan MUDA ia bermaksud PN terpaksa juga beranjak ke tengah. Kalau tidak, MUDA akan mengambil bahagian pasaran terutama pengundi Melayu yang tidak percaya dengan PH atau UMNO tetapi juga tidak semestinya bersetuju dengan PN," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Isnin. 

Pantau Agenda Reformasi: Dinamika kerajaan dengan kuasa ketiga

Dalam pada itu, Chin Huat juga melihat penyertaan MUDA sebagai kuasa ketiga mempunyai kesan positif tetapi persaingan antara parti politik perlu berlangsung secara profesional.

Ini termasuk mengingatkan semua ahli politik daripada parti berbeza untuk menghormati antara satu sama dan menggunakan bahasa yang baik.

Dalam masa sama, Chin Huat berharap parti MUDA sebagai kuasa ketiga dapat membawa perbincangan ke arah reformasi institusi dengan lebih mendalam termasuk isu pilihan raya Kerajaan tempatan.

"Apa yang berlaku sebenarnya kalau kita ada Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, parti parti termasuk parti rakan dalam Kerajaan Madani ini mereka dapat bersaing secara sihat untuk mendapatkan perwakilan, ini sebenarnya akan meremajakan semua parti sedia ada dan menguntungkan parti kecil untuk mendapat perwakilan," katanya.

Semalam, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan partinya keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Syed Saddiq berkata, keputusan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengurniakan DNAA kepada Ahmad Zahid dan menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram dana Yayasan Akal Budi pada 4 September lalu.