SHAH ALAM: Kerajaan Madani digesa supaya menyemak semula dan mengemas kini akta hasutan susulan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dipanggil untuk direkod keterangan berhubung kenyataannya berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Shahrizal Denci berkata, tindakan itu perlu bagi memberi kefahaman mengenai definisi hasutan supaya ia tidak disalahgunakan.

"Kami menganggap siasatan ke atas Tony, mantan Ahli Parlimen Damansara adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Kalau benarlah apa yang disebutkan bahawa beliau disiasat kerana komen di Facebook berkaitan isu pengampunan Datuk Seri Najib, maka kami memanggil untuk Kementerian Dalam Negeri mengemas kini akta hasutan supaya tidak membuang masa pihak berkuasa untuk menyiasat perkara yang sia-sia.

"Jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bersuara dan memberikan pandangan selagi mana ianya tidak menyentuh kepada isu-isu sensitif.

"Dilihat dari komen beliau di media sosial, apakah perasaan hati dan sentuhan jiwa UMNO itu sebahagian dari senarai isu sensitif? Takkan beliau langsung tidak boleh mengkritik atau memberikan pandangan mengenai isu ini khususnya dalam konteks kerajaan hari ini?" soalnya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Ahad mengesahkan Tony dipanggil untuk direkod keterangan susulan kenyataan didakwa menghina institusi diraja berkaitan pengampunan Najib pada Isnin.

Razarudin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Shahrizal turut mempersoal sama ada tindakan yang diambil terhadap Tony itu disebabkan kenyataan yang mengguris hati Pemuda UMNO.

"Sekiranya kerajaan hari ini berpandangan bahawa mengguris hati Pemuda UMNO yang sensitif itu merupakan sesuatu yang dikatakan menghasut, maka nyatakan lah dengan jelas supaya semua rakyat boleh menilai," katanya.

Ujarnya, meskipun Tony merupakan ahli DAP yang jelas menganggap MUDA sebagai seteru kepada parti itu, namun keadilan perlu ditegak menjangkau politik kepartian.

Tambahnya, adalah malang untuk Malaysia mengagungkan 'perompak' yang telah disabitkan kesalahan tetapi menekan mereka yang menyatakan kebenaran.

Sebelum ini, Tony dilaporkan memuat naik tiga hantaran bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap diskaun hukuman yang diberikan kepada Najib.

Secara sinis beliau meminta seseorang untuk menghantarnya ke penjara selama setahun dan akan membayar RM50 juta sebagai pertukaran.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian