KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat, hanya cuba merekayasa watak tidak bersalah untuk kerajaan tanpa majoriti.

Sebaliknya dakwa Ahmad Zahid, kegagalan kerajaan mengurus pandemik menyebabkan 12,000 nyawa orang tidak bersalah terkorban akibat COVID-19.

"Perutusan semalam jelas cuba merekayasa watak "innocent" untuk kerajaan tanpa majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN). Kerajaan yang gagal mengurus pandemik sehingga menyebabkan 12,000 nyawa terkorban cuba dipertontonkan sebagai "victim".

"Cuba mengubah keseluruhan plot cerita daripada kegagalan kerajaan PN kepada kerajaan PN konon jadi mangsa politik. Dengan alasan itu kemudian cuba menghalalkan "habuan" bersyarat kepada ramai pihak supaya mengekalkan PN sebagai kerajaan Persekutuan.

"Ini perbuatan yang sangat tidak bermoral dan berakhlak oleh sebuah kerajaan Malaysia," tegas Ahmad Zahid dalam muat naik di Facebook miliknya hari ini.

Tambahnya, alasan bahawa program vaksinasi tidak akan berjalan lancar jika berlaku perubahan kuasa hanya cubaan menakutkan rakyat.

"Dengan alasan itu juga cuba menakut-nakutkan rakyat konon program vaksinasi tidak akan berjalan lancar tanpa mereka memegang kuasa.

"Sedangkan program vaksinasi tidak lancar sejak ia bermula dan kerana itu sehingga hari ini imuniti kelompok masih belum dapat dicapai.

"Seterusnya cuba menyelamatkan kedudukan dengan propaganda kini semua pihak perlu bekerjasama melawan COVID-19 iaitu di saat kerajaan PN sudah tiada sokongan majoriti," kata Presiden UMNO itu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah berjaya memberikan kesan positif  terutama dalam menurunkan kes kemasukan ke hospital dan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

“Kalau kita perhatikan kategori 4 dan 5 kemasukan di Hospital Sungai Buloh mengikut umur. Kita dapati selepas pelaksanaan Operasi Surge Capacity Klang Valley, kita dapati pada minggu ke-30, kes semakin menurun.

"Kalau kita lihat pada peak yang pertama yang berwarna hijau di mana kita memberikan vaksin pada fasa 2 kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan kita lihat penurunan kes iaitu selepas minggu ke-21 kes makin menurun.

"Apabila melaksanakan Operasi Surge Capacity di Lembah Klang, kita lihat sekarang ini mereka yang berusia iaitu 40 - 59 tahun juga menurun dan juga 20 - 39 juga ada penurunan. Ini menunjukkan kesan vaksinasi telah berjaya menurunkan kes kemasukan ke hospital dan juga penggunaan katil-katil Unit Rawatan Rapi (ICU)," kata  Dr Noor Hisham  dalam Sidang Media Khas Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya pada 13 Ogos 2021.

Pada Jumaat, Muhyiddin menjelaskan, negara memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.

Katanya, apabila kestabilan politik tidak dapat dicapai, segala usaha untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi sukar dicapai.