KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil mengecam Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Ketua Srikandinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mempertikai memorandum perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Fahmi yang juga Menteri Telekomunikasi dan Digital menyifatkan, tindakan kedua-dua pemimpin Bersatu itu sebagai kemunafikan politik.

Menurut Fahmi, laungan diktator tidak pula dibangkitkan ketika PH menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik di zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini.

"Kami dalam PH memahami keperluan kestabilan kerajaan, maka itu antara sebab mengapa kami memilih untuk menandatangani MoU itu.

"Waktu Mas Ermieyati jadi timbalan menteri, bab ini tak pula kamu pertikai? Atau kamu tak pertikai sebab kamu timbalan menteri waktu itu? Samalah juga dengan Tan Sri Muhyiddin," tegas Fahmi dalam hantaran di akaun media sosialnya.

Tambah Fahmi, MoU Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani pada 16 Disember lalu merupakan langkah tepat untuk menunjukkan pimpinan faham apa yang mesti diusahakan dalam mewujudkan kestabilan.

"Inilah cara terbaik untuk mewujudkan kestabilan kerajaan pasca Parlimen tergantung, supaya kita boleh fokus selesaikan masalah rakyat terutama isu kos sara hidup serta memacu ekonomi untuk membangunkan Malaysia.

"Kita move on, ketepikan politik, fokus khidmat bakti dalam apa jua jawatan yang dipegang, demi masa depan Malaysia," katanya lagi.

Pada Jumaat, lima gabungan parti politik utama iaitu PH; Barisan Nasional (BN); Gabungan Parti Sarawak (GPS); Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani MoU di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.