Penubuhan sebuah wadah politik baharu hanya akan berkesan sekiranya ia dipersetujui secara konsensus oleh rakan-rakan pimpinan parti-parti pembangkang yang lain, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Melalui satu kenyataan media pada Sabtu, beliau bersetuju dengan cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu yang akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Pakatan Harapan (PH), PAS dan pertubuhan masyarakat sivil.

“Saya telah berbincang dengan Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Mukhriz dan rakan-rakan yang lain mengenai keperluan penubuhan sebuah wadah politik untuk meneruskan perjuangan ini menerusi penyertaan di dalam pilihan raya.

“Untuk itu saya akan meneruskan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan sebelum memutuskan langkah selanjutnya,” ujar beliau.

Muhyiddin juga bersependapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Seri Azmin Mohamed Ali dan beberapa pimpinan PH dan PAS yang lain bahawa parti-parti pembangkang perlu kembali berunding untuk mewujudkan kesepakatan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya amat mengalu-alukan perkembangan positif ini dan bersedia untuk berbincang dengan semua pihak bagi bersama-sama mencari kaedah terbaik untuk membawa perubahan politik dan kerajaan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia menerusi pilihan raya umum akan datang,” ujar beliau.

Tambahnya, andaian bahawa BN akan terus berkuasa dan pemimpin rasuah akan terus bermaharajalela lantaran perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang tidak semestinya betul.

“Saya yakin Malaysia sudah bersedia untuk menyongsong arus perubahan dan rakyat tanpa mengira kaum dan agama akan bersatu hati untuk membela nasib rakyat, menentang rasuah, salah guna kuasa dan manipulasi sentimen perkauman yang melampau demi mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.