KUALA LUMPUR: Keretakan hubungan antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukan lagi rahsia umum terutamanya selepas beliau memilih untuk 'melawan' bekas 'boss'nya itu melalui pendedahan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rentetan daripada itu, pada 2015 Muhyiddin terpaksa membayar harga yang mahal apabila disingkirkan daripada jawatannya ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Walaupun hubungan mereka berdua dilihat 'dingin', Najib pada 2020 pernah mendedahkan kepada agensi berita Reuters, bahawa beliau berharap agar hubungan keruh antara Muhyiddin, yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri - dapat dijernihkan bagi membuka lembaran baharu.

Terbaharu, Muhyiddin dilihat mengenepikan segala perbezaan sebelum ini apabila beliau buat pertama kali secara terbuka bertanya khabar dan mendoakan kesihatan Najib, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana disahkan positif COVID-19.

Kenyataan itu seolah-olah menunjukkan kedua-dua bekas pemimpin nombor satu negara itu seperti mahu 'memperbaiki hubungan' mereka.

"Saya dimaklumkan bahawa mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan sedang dirawat di HKL selepas disahkan positif COVID-19.

“Saya doakan semoga Allah SWT memberikan kesembuhan kepada Datuk Seri Najib Razak dan dipermudahkan urusan kepada beliau,” tulisnya dalam entri di Facebook, pada Jumaat.

Sebelum ini, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas beliau mengadu demam.

Kemas kini yang dimuat naik Ahli Parlimen Pagoh itu menerima pelbagai reaksi positif daripada pengikut-pengikut laman sosialnya, yang antaranya turut memuji sikap Muhyiddin yang prihatin terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Selain itu, ada juga yang berhadap agar dua bekas Perdana Menteri itu seia-sekata dalam membangunkan bangsa dan negara.

.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac 2020, dan memimpin Kerajaan Pusat selepas mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Begitupun beliau meletak jawatan pada Ogos 2022 apabila kelompok UMNO yang berada dalam kerajaan PN yang diterajuinya, memilih menarik sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri.

Najib kini sudah 14 bulan menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Berhad.