Mukhriz sah letak jawatan, nama Menteri Besar Kedah baharu diumum hari ini

Adie Sufian Zulkefli
Februari 2, 2016 17:06 MYT
Mukhriz dijadual mengadakan satu sidang media di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman jam 10 pagi ini selepas dimaklumkan oleh pihak istana bahawa menteri besar baharu akan dilantik menggantikannya.
Kemelut politik Kedah yang berlarutan hampir dua minggu bakal menemui noktah apabila menteri besarnya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir kini sah akan digantikan.
Menurut sumber terdekat dengan menteri besar, Mukhriz dikatakan sudah dimaklumkan oleh pihak istana dan beliau akan mengadakan sidang media di Bilik Gerakan Negeri Wisma Darul Aman, jam 10 pagi Rabu berhubung keputusan itu.
BACA: Mesyuarat exco Kedah esok ditangguhkan
Menurut sumber Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ketika dihubungi meminta pihak media bersedia untuk satu sidang media khas, bagaimanapun tidak dinyatakan butiran lanjut.
Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat, kebanyakan wakil rakyat khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberikan gambaran mengenai perubahan tampuk pentadbiran negeri itu yang bakal menyaksikan Mukhriz digantikan.
BACA: Krisis MB Kedah: 17 ADUN BN adakan pertemuan tergempar
Menurut mereka, kemelut politik negeri semakin hampir ke penghujung dan harapan melihat pembaharuan pentadbiran seperti disuarakan dalam sidang media di Hotel Grand Alora, di sini pada 20 Januari lalu makin pasti dapat dicapai.
FOTO: Laungan ribuan rakyat Kedah sambut Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir
Difahamkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah membuat keputusan selepas semua 21 ADUN Barisan Nasional (BN) dan 15 pembangkang dipanggil menghadap semalam dan dua hari lalu.
BACA: 13 daripada 15 ADUN pembangkang menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah
BACA: Krisis politik Kedah: 20 ADUN menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah
Secara prinsip, Mukhriz akur dengan kehendak parti dan bersedia melepaskan jawatan, manakala Jemaah Pemangku Sultan Kedah selepas menemui semua ADUN membuat kesimpulan bahawa Mukhriz telah hilang sokongan majoriti.
BACA: Mukhriz sahkan tidak sertai pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah
Berdasarkan maklumat diterima, Jemaah Pemangku Sultan Kedah dimaklumkan berpuas hati dengan kenyataan semua ADUN yang dipanggil menghadap dan kini hanya menunggu keputusan penting yang akan diumumkan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, dalam tempoh terdekat.
#Jemaah Pemangku Sultan Kedah #letak jawatan #Menteri Besar Kedah #Mukhriz Mahathir