Skip to main content

Politik

Muktamar Pas: Hentikan label ‘kuil haram’ - DHPP

FB DHPP Pusat
Kumaresan berkata, masyarakat India tidak selesa dengan penggunaan label 'kuil haram' kerana ia boleh mengguris perasaan mereka. - Foto Pas
Advertisement

KOTA BHARU: Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) menggesa istilah ‘kuil haram’ tidak digunakan sewenang-wenangnya terhadap rumah ibadat yang berdepan isu tanah atau kelulusan.

Ketuanya, Kumaresan Baby Kalidawson berkata, masyarakat India tidak selesa dengan penggunaan label berkenaan kerana ia boleh mengguris perasaan mereka.

“Kita sering mendengar istilah ‘kuil haram’ digunakan apabila timbul isu berkaitan tanah atau status sesebuah kuil.

“Saya ingin tegaskan bahawa masyarakat India tidak selesa dan tidak suka apabila rumah ibadat mereka dilabel sebagai ‘kuil haram’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Menurut Kumaresan, masalah berkaitan geran tanah, kelulusan, perancangan atau perundangan perlu ditangani melalui proses yang adil dan berhemah.

“Jika terdapat masalah dari segi geran tanah, kelulusan, perancangan atau undang-undang, perkara ini perlu diselesaikan melalui proses yang adil dan berhemah.

“Bukan dengan memberikan label yang boleh mengguris perasaan sesuatu kaum,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan mencari penyelesaian lebih menyeluruh dan sistematik terhadap kuil yang berdepan masalah status tanah.

Kumaresan turut mencadangkan supaya pendekatan kerajaan Kedah dalam menangani isu rumah ibadat dijadikan contoh.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara khusus pendekatan atau kes di Kedah yang dirujuk dalam ucapan.

Must Watch Video

Advertisement