KUALA LUMPUR: Pas berharap tiada lagi “tangan-tangan ghaib” yang cuba menggagalkan agenda penyatuan ummah menerusi tindakan mencetuskan perselisihan.
Bekas Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, usaha penyatuan yang dibina juga tidak seharusnya dimusnahkan oleh pihak yang bertindak sebagai batu api.
“Harap kali ini betul-betul menjadi dan kita buat sampai jadi, insya-Allah. Harap tiada lagi batu api yang membakar jambatan yang telah kita dirikan.
“Harap tidak ada lagi tangan-tangan ghaib yang memainkan silap mata untuk menggagalkan agenda penyatuan ini,” katanya ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-72, di Kota Bharu, hari ini.
Nasrudin berkata, agenda penyatuan ummah bukan sekadar strategi politik, sebaliknya, tuntutan agama yang perlu dilaksanakan dengan menghimpunkan kekuatan berdasarkan perkara yang disepakati.
Menurutnya, perbezaan pula perlu diuruskan dengan ilmu, adab dan hikmah tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan ahli, pemimpin dan penyokong Pas supaya tidak menjadikan media sosial sebagai medan perpecahan sehingga meruntuhkan usaha penyatuan yang dibina sejak sekian lama.
“Janganlah kerana kita hanya mahu menang satu hujah berdepan netizen di media sosial, kita kehilangan seribu hati yang sedang mendekati perjuangan Islam yang kita dukung,” katanya.
Dalam pada itu, Nasrudin berkata, Pas bersedia membuka pintu kepada pihak yang pernah bersama, meninggalkan atau berbeza pandangan dengan parti berkenaan.
“Kepada mereka yang pernah bersama dengan kita, pintu ini terbuka. Kepada mereka yang pernah meninggalkan kita, pintu ini terbuka.
“Kepada mereka yang pernah berbeza pandangan dengan kita, pintu ini juga sedang terbuka.
“Selagi ada ruang untuk kita duduk bersama demi Islam, demi ummah, demi negara, janganlah kita menjadi orang yang menutup pintunya,” katanya.
Beliau berkata, Pas perlu tampil sebagai jambatan yang menyambungkan pelbagai kelompok, termasuk ulama, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, golongan profesional, anak muda, agamawan dan aktivis masyarakat.
Usul memperkasakan agenda penyatuan ummah yang dibentangkan Dewan Ulama Pas Pusat itu kemudian diterima sebulat suara oleh para perwakilan.