KUALA TERENGGANU: PAS perlu memberi peluang dan menampilkan lebih ramai calon wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Rosni Adam.

Beliau berkata cadangan itu bukan sahaja untuk meraih perhatian dan sokongan pengundi wanita yang hampir 50 peratus, tetapi juga membolehkan golongan itu berjuang dengan cara tersendiri.

"Kita lihat calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya seorang daripada lapan calon, hanya 12.5 peratus.

"Saya yakin insya-Allah, dalam PRU15 nanti peratus ini akan bertambah. Berilah kami peluang untuk membantu memperjuangkan agama Allah ini melalui gerakan wanita, sebab kita tahu hampir 50 peratus pengundi di luar sana adalah wanita tidak kira umur," katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 di sini, hari ini.

Dr Rosni berkata sekiranya PAS mahu meletakkan calon wanita muda, pihaknya sedia bekerjasama dan akan menampilkannya mengikut kriteria yang ditetapkan.

"Nak calon wanita muda, kita boleh bagi calon wanita muda. Kita yang berumur ini boleh berundur jika nak muka-muka segar...kerana tangan yang menghayun buaian mampu mempertahankan Malaysia," katanya yang kemudiannya mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan lain.

Muktamar PAS bertemakan Islam Menyatukan Ummah berlangsung dua hari bermula semalam, dan diadakan secara hibrid dengan 694 daripada 1,546 perwakilan hadir secara fizikal, manakala selebihnya secara maya.

Perwakilan negeri berada di negeri masing-masing kecuali perwakilan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang, serta kesemua 197 Yang Dipertua PAS kawasan yang hadir secara fizikal.

Sementara itu, dalam sesi sama Ketua Dewan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata semua pihak tidak seharusnya mempertikaikan hala tuju hubungan PAS bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), yang telah diputuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Keadaan hari ini bukan masanya untuk berteka teki dengan hala tuju. Kita dalam lautan bergelombang. Bagi mandat kepada Presiden. Tidak perlu ramai bercakap tentang hala tuju parti. Bagi kepercayaan kepada satu nahkoda untuk kemudi, sebab beliau tahu di manakah ikan jerung dan taufan.

"Kalau semua nak jadi jururunding. Bimbang ada yang akan jual nama parti kepada pihak lain. Bagi mandat pada Majlis Syura dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat," katanya.

Ahmad Fadhli berkata ketika negara dilanda gelombang politik, PAS menjadi satu-satunya parti yang menonjolkan integriti tinggi, dengan tidak melompat ke parti lain.

Disebabkan itu beliau mencadangkan supaya perwakilan dan pemimpin PAS terus mempertahan serta 'turun padang' di kawasan masing-masing, terutama dalam mendekati golongan muda.

"Kita mesti terima hakikat pada PRU15 bermula dari umur 18 tahun. Kita akan beri fokus untuk mereka dan perlu ada agenda sesuai, sama ada lelaki atau perempuan. Kita mesti rancang program yang jelas untuk tarik mereka," katanya.

Sementara itu Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Senator N. Bala Subramaniam mengingatkan pemimpin dan ahli, supaya terus berwaspada dengan maklumat yang diperolehi bagi mengelak salah faham.

"Maklumat yang diperoleh perlu diselidik kesahihannya terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada pihak lain, perlu berhati-hati. Tujuan saya membawa perkara ini adalah kerana kepesatan dunia media sosial yang memungkinkan berlaku salah faham dan membawa keruntuhan parti PAS, pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA