Skip to main content

Politik

Muktamar Pas: Zahid tidak hadir bukan petanda UMNO bergerak solo PRN Melaka

[TB]_TAKIYUDDIN, Pas_ASTRO AWANI
Takiyuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur dalam tempoh dua minggu bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama politik. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketidakhadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 bukan petanda parti itu akan bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau boleh mengesahkan perkara itu kerana terlibat secara langsung dalam rundingan antara kedua-dua parti.

“Tidak langsung, tidak sama sekali. Saya boleh mengesahkan perkara itu kerana saya antara yang terlibat secara langsung.

“Perundingan kita akan diteruskan, mungkin dalam sehari dua ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Kota Bharu, hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur dalam tempoh dua minggu bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama politik.

Menurutnya, beliau telah diarahkan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mengeluarkan notis bagi mengadakan mesyuarat berkenaan pada bulan ini.

“Kita dengan UMNO serta parti-parti dalam PN sentiasa berbincang. Antara perkara yang akan dibincangkan ialah bagaimana untuk memperkukuh kerjasama politik dengan parti-parti yang ada sekarang.

“Kita akan menghadapi PRN Melaka yang terdekat dan mungkin Sarawak juga akan dibincangkan kerana kita bukan sahaja membincangkan pilihan raya negeri, tetapi juga Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut dijangka membincangkan kedudukan parti-parti sedia ada dalam PN, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selain kemungkinan kemasukan parti baharu ke dalam gabungan tersebut.

Ditanya sama ada keputusan mengenai kedudukan Bersatu akan dibuat selepas isu itu tertangguh sekian lama, Takiyuddin berkata isu tersebut turut dibincangkan.

Takiyuddin turut menjelaskan usaha penyatuan ummah bukan sahaja melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri, malah merangkumi kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka ketika ini hanya melibatkan PN dan Barisan Nasional (BN), manakala penyertaan PKR atau Pakatan Harapan dilihat tidak mungkin berlaku.

“Kita amat yakin bahawa hubungan antara PN dengan BN ini tidak melibatkan pihak lain, sama ada PH atau mana-mana pihak. Kita sangat yakin mengenai perkara itu,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement