Skip to main content

Politik

Naib Pengerusi PKR Sabah umum lepas jawatan, keluar parti

Sumber: Sinar Harian
Mohd Amin (gambar) berpandangan bahawa agenda reformasi yang diperjuangkan PKR kini semakin sukar direalisasikan dalam landskap politik semasa, khususnya dalam Kerajaan Perpaduan. - Foto Sinar Harian

KOTA KINABALU: Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Mohd Amin Abdul Mem mengumumkan peletakan semua jawatannya sebelum mengisytiharkan keluar daripada parti.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Semporna menyatakan pendirian bahawa parti berkenaan kini sudah berubah daripada perjuangan asal reformasi yang pernah diyakininya.

Menurut Mohd Amin, PKR yang sebelum ini dilihat berani, tegas, jujur dan berprinsip kini semakin dipengaruhi unsur kompromi politik susulan pembentukan kerajaan Perpaduan.

Katanya, keadaan itu menjadi lebih sukar apabila pimpinan yang menurutnya berada di luar rantaian perjuangan reformasi mula mendominasi parti.

"Daripada yang dahulunya berani, tegas, jujur dan berprinsip, kini kepada kompromi, politiking dan memilih. Ini berlaku kerana strategi telah diubah atas faktor perkongsian kuasa dalam Kerajaan semasa, kerajaan Perpaduan.

"Lebih sukar bila watak-watak pimpinan di luar rantaian reformasi sudah hampir mendominasi parti," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam kenyataan sama, Mohd Amin turut menyentuh kegagalan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu yang menurutnya meninggalkan banyak persoalan tanpa pertanggungjawaban jelas daripada pimpinan.

Beliau berkata, kekalahan itu akhirnya lebih banyak dipertanggungjawabkan kepada cabang parti berbanding dilakukan penilaian menyeluruh terhadap kepimpinan dan strategi parti.

Mohd Amin turut berpandangan bahawa agenda reformasi yang diperjuangkan PKR kini semakin sukar direalisasikan dalam landskap politik semasa, khususnya dalam Kerajaan Perpaduan.

"PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah dikelilingi oleh lapisan-lapisan yang cuba menutup ruang tuntutan reformasi sebenar, sementara kebanyakan kita hanya mampu melihat, menerima dan mengulas di balik pintu.

"Melihat kesukaran PMX dalam kerajaan Perpaduan membentuk kerjasama yang baik bersama komponen untuk PRU16, gagasan reformasi bersama Keadilan mungkin menemui jalan yang kian sukar," katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan kewujudan Parti Bersama Malaysia (PBM) di bawah pengaruh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai kesinambungan idealisme perjuangan reformasi dengan pendekatan baharu.

Menurutnya, PBM dilihat membawa semula perjuangan tanpa kompromi politik selain memberi harapan kepada mereka yang masih percaya terhadap agenda reformasi asal. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement