Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai disifatkan sebagai 'kurang ajar' kerana mendakwa sekolah agama dibiayai kerajaan adalah ancaman sebenar kepada perpaduan di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, Dominic sengaja mencabar dan membakar perasaan orang Melayu serta umat Islam dengan mengeluarkan kenyataan yang terlalu biadab dan menjengkelkan.

"Saya hendak beritahu Gerakan, jangan sengaja kacau dalam isu agama Islam, jangan tunjuk jaguh dan menyakiti hati pemimpin UMNO dengan sengaja bermain isu agama," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali mengulas kenyataan Dominic di dalam sebuah portal yang menyatakan Gerakan mahu kerajaan mengkaji semula dasar-dasar sekolah agama yang dibiayai oleh kerajaan.

Beliau berkata, Islam sudah termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan sekolah agama adalah sebahagian daripada intitusi keagamaan yang tidak boleh dipersoal, diperlekeh dan dikaitkan dengan keganasan.

"Selama ini kita kata Barat yang lakukan propaganda kononnya Islam agama ekstrem, tetapi malangnya, pemimpin Gerakan iaitu rakan Barisan Nasional (BN) tuduh sekolah agama kita (Islam) cenderung kepada pelampau, ini dakwaan jahat dan tidak boleh dipandang ringan.

"UMNO akan bangkit apabila institusi agama Islam dipersoalkan walaupun yang mempertikaikan itu datangnya daripada rakan BN.

"Berada dalam BN bukan bermakna Gerakan boleh sesuka hati mengeluarkan kenyataan yang sengaja untuk menghiris hati orang Melayu dan umat Islam," jelasnya.

Beliau menjelaskan, sekolah agama yang dibiayai kerajaan menjuruskan kepada pembentukan akhlak mulia termasuk mengamalkan sikap bertoleransi selari dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Malah tambahnya, Islam mengajar umatnya supaya menghormati penganut agama lain dan hidup dalam kerukunan dalam sebuah masyarakat yang berbeza agama, budaya dan latar belakang.

"Tuduhan Dominic bahawa sekolah agama merupakan ancaman kepada perpaduan di negara ini terlalu kurang ajar, rasis dan tidak menghormati sensitiviti pemimpin UMNO," ujarnya.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata kenyataan Naib Presiden Gerakan itu tidak adil dan cuba memberi persepsi kepada masyarakat umum bahawa ajaran Islam menggalakan kegiatan ekstrem.

"Inilah persepsi jahat yang cuba ditanam Dominic, saya bertegas bahawa tindakan itu sudah melampaui batas dan mahu tindakan diambil terhadap beliau," katanya.

Sebagai pemimpin komponen BN, beliau berkata Dominic sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berbau hasutan dan cuba membangkitkan kemarahan umat Islam.

"Saya nak ingatkan Naib Presiden Gerakan, kita (UMNO) tak pernah kacau agama mereka, jadi mengapa dia sakit hati dengan sekolah agama Islam di negara ini?

"Saya juga berharap Presiden Gerakan jangan jadi bisu, tolong beri nasihat naibnya supaya memahami ini adalah realiti Malaysia bahawa Islam agama rasmi dan tidak boleh dipersoal atau cuba memberi tafsiran yang salah," tegasnya.