ALOR SETAR: Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai cuba menyelamatkan sebuah jet ski yang hanyut di tengah laut dalam kejadian di Jalan Pantai Tengah, Langkawi, semalam, ditemukan pada Jumaat.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, mayat Arash Nashran Abdul Maser, 23, yang juga pengendali jet ski itu dijumpai kira-kira pukul 6 petang oleh pasukan penyelamat yang membuat rondaan menggunakan jet ski di laut.
“Operasi pencarian mangsa semalam telah diteruskan hingga pukul 2.39 pagi (hari ini) di sepanjang pantai, namun terpaksa dihentikan berikutan ombak bergelora serta angin kencang.
“Pencarian kemudiannya disambung semula pada 6.50 pagi dan sebanyak tiga unit jet ski milik orang awam digunakan untuk mencari mangsa. Pada 6 petang tadi, mayat mangsa berjaya ditemukan dan telah dibawa ke jeti menaiki bot,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pada 6.48 petang, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika dipercayai cuba menyelamatkan jet ski yang hanyut di tengah laut sebelum ombak kuat menyebabkan mangsa tercampak ke dalam air dan difahamkan mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
-- BERNAMA