Nak jadi PM, Tok Mat perlu jelaskan isu pemindahan RM10 juta - Rafizi

Rahimah Abdullah
April 10, 2019 21:47 MYT
Rafizi ketika ceramah kempen PH di Rantau pada Rabu malam. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Mohamad Hasan, perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai isu pemindahan wang RM10 juta di luar negara memandangkan beliau didakwa mahu menjadi Perdana Menteri.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada masa sama berkata, isu berkenaan perlu disiasat dan perlu melalui proses undang-undang ditetapkan.
"Memang perlu disiasat kerana undang-undang itu begitu jelas. Kalau kamu tidak ada hutang, maka kamu boleh pindahkan seberapa banyak kamu hendak pindahkan tanpa ada had. Kalau Tok Mat ini orang kaya, kenapa perlu bersembunyi memindahkan wang dengan pengurup wang, mengambil risiko melanggar pelbagai undang-undang?
"Pengurup wang memang melanggar undang-undang, kenapa? Salah satu sebab ialah money trail itu," katanya kepada media selepas Ceramah di Rantau bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram pada Rabu malam.
BACA: Streram nafi PH cuba bunuh karakter Tok Mat
BACA: Tok Mat dakwa serangan ke atasnya lebih kepada isu peribadi
Tambahnya, ada beberapa kemungkinan yang menyebabkan Timbalan Presiden UMNO itu disiasat dan mungkin risiko melanggar undang-undang.
"Pertama, kalau dia nak pindahkan wang itu kerana nak lari dari had RM1 juta setahun, apabila dia pindahkan juga RM10 juta maka dia sah langgar undang-undang.
"Kalau pun dia kaya, kenapa dia masih pindahkan wang secara sembunyi, sedangkan dia tiada masalah?" soal Rafizi.
BACA: Hentikan spekulasi saya jadi PM, nanti orang akan 'bunuh' saya cepat - Tok Mat
Justeru katanya, satu-satunya sebab Mohamad memindahkan wang itu dengan mengambil risiko undang-undang kerana sumber wang berkenaan bukan daripadanya.
"Apabila kita pindahkan wang secara sah, melalui bank, kita kena pindahkan sumber wang. Kalau dia kata wang dia, bank akan periksa. Kalau dia tak boleh jawab, baik dia pindah senyap-senyap," katanya.
Kata Rafizi lagi, apa sahaja alasan, Mohamad perlu terangkan kepada rakyat.
"Isu wang ini, orang akan kejar dia sampai bila-bila. Selagi kamu tak jawab, kamu takkan dapat mengelak," tambahnya.
#Anwar Ibrahim #Barisan Nasional #Mohamad Hasan #Pakatan Harapan #pilihan raya #pilihan raya kecil #PKR #prk rantau #Rafizi Ramli #Rantau Memilih #UMNO