KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung selama dua hari menyaksikan pelbagai pandangan disuarakan oleh Ahli Parlimen, selain situasi kekecohan yang berlaku pada hari pertama.

Tidak kurang gelagat lucu daripada beberapa Ahli Parlimen, yang dilihat mencuit hati dan mengurangkan 'ketegangan' suasana di Dewan Rakyat.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim - yang kini berada di blok pembangkang selepas mengambil keputusan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan tersebut dibuat selepas Shahidan tidak dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Arau.

Hari ini, Shahidan secara berseloroh menegur tanda nama yang tertera di tempat duduknya yang melabel beliau sebagai Ahli Parlimen BEBAS.

"Tuan Speaker (Datuk Johari Abdul), saya nama Datuk Seri Shahidan Kassim. Tetapi ditulis di situ (tanda nama) BEBAS-Arau... Saya Pas daripada PN.

"Selepas itu gambar saya tak ada, di sini ada gambar... di sini (belakang) gambar hantu," katanya, sebelum disambut gelak ketawa daripada Ahli Parlimen.

'Gusar' dengan isu yang dibangkitkan oleh Shahidan, Johari kemudian mengarahkan agar tanda nama tersebut dibetulkan serta-merta.

"Saya dengan ini mengarahkan Setiausaha (Dewan Rakyat) untuk mengambil tindakan serta-merta, atas keresahan dan kekecewaan Arau itu. Terima kasih Arau," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat itu.

Pada PRU15, Shahidan yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian menang dengan majoriti 23,216 undi.

Beliau memperoleh 31,458 undi mengatasi dua calon lain iaitu bekas anak buahnya yang bertanding atas tiket BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang memperoleh 8,242 undi serta calon muda Pakatan Harapan (PH), Fatin Amelina Fazlie yang meperoleh 7,089 undi.

Shahidan menguasai Parlimen Arau selepas menang dalam PRU pada 1986,1990,2013 dan 2018, selain pernah menjawat kedudukan sebagai Menteri Besar antara 1995 hingga 2008.

Selain Parlimen Arau, PN turut menang di dua lagi kerusi Parlimen di Perlis melibatkan Padang Besar dan Kangar.