PUTRAJAYA: Tindakan negara tertentu mengikuti perkembangan politik Malaysia bukan sesuatu yang janggal memandangkan mereka mempunyai kepentingan tersendiri untuk mengetahui perkembangan yang berlaku di negara lain.
Demikian menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia pada 2014.
Zambry bagaimanapun berkata, beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mengesahkan atau menafikan dakwaan berkenaan kerana perbualan itu didakwa berlaku antara Abdul Hadi dan pihak berkuasa AS.
"Itu adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru sendiri berkaitan dengan apa yang beliau alami.
"Di peringkat kita, untuk mengiyakan atau menafikan, perbualan itu berlaku antara beliau (Pas) dengan pihak berkuasa Amerika pada waktu itu," katanya.
Menurut Zambry, dakwaan tersebut turut mengundang pelbagai reaksi termasuk desakan supaya Abdul Hadi mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataannya.
Namun katanya, tindakan sesebuah negara mengikuti perkembangan negara lain bukan perkara luar biasa.
"Bagi sesiapa yang tahu tentang apa yang dilakukan oleh negara-negara tertentu yang sentiasa mengikuti perkembangan negara kita, tentunya ia bukan sesuatu yang janggal.
"Setiap negara tentunya mahu mengikuti perkembangan," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tajaan kepada Pelajar Terbaik STPM 2025, di sini, pada Isnin.
Pada masa sama, Zambry berkata beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai dakwaan berkenaan dan menyerahkan kepada pihak lain untuk menentukan pendirian masing-masing.
"Kita tidak boleh mengambil mudah politik dalam negara kita ini dan kena lihat daripada pelbagai perkara, pelbagai sudut pandang dan pelbagai cerita yang berlaku kerana Malaysia terdedah kepada pelbagai kemungkinan," tambahnya.
Terdahulu, tiga laporan polis dibuat berhubung kenyataan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu.
Laporan itu dibuat oleh Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bandar Tun Razak V. Jonatahan, serta Ketua Wanita dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan cabang yang sama, Mazlina Osman dan Razak Amarul Hisham Jalil di Balai Polis Cheras.
Jonathan berkata laporan itu dibuat susulan kenyataan Abdul Hadi ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan semalam yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.
Beliau berkata Abdul Hadi mendakwa beberapa pemimpin Pas pernah dijemput mengadakan pertemuan dengan Kedutaan AS ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014, dengan pihak asing didakwa menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu.