POLITIK
Nilai usaha kerajaan berlandaskan fakta, bukan sentimen politik - PM Anwar

Perdana Menteri bercakap kepada pemberita semasa hadir pada Maljis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pimpinan Keadilan Wilayah Persekutuan hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat menilai usaha dan dasar kerajaan berdasarkan fakta dan bukan dipengaruhi sentimen politik.
Ringkasan AI
- Rakyat digesa menilai dasar kerajaan berdasarkan fakta: PM Anwar Ibrahim menekankan agar penilaian terhadap usaha kerajaan dibuat secara objektif, bukan dipengaruhi sentimen politik atau maklumat tidak tepat seperti isu harga minyak dan barang.
- Kerajaan terbuka membaiki kelemahan dasar: Anwar mengakui inisiatif kerajaan tidak sempurna, namun komited untuk mendengar dan menambah baik dasar demi kepentingan rakyat.
- Komitmen terhadap demokrasi dan kebebasan bersuara: Beliau menyatakan Malaysia sebagai negara demokratik, dan kerajaan akan terus memberi penjelasan serta ruang kepada rakyat untuk menilai secara adil.
"Maknanya, ini hanya sentimen politik, kebencian ... tidak ikut fakta. Jadi, kita cadang supaya rakyat menilai mengikut fakta, kalau ada kelemahan kita boleh perbaik," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden PKR Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap inisiatif dilakukan kerajaan mungkin tidak sempurna, namun pihaknya sentiasa mencari ruang untuk membaiki permasalahan yang wujud.
" ... saya tidak katakan apa-apa yang kita buat sempurna, tetapi kita sentiasa mendengar dan ubah suai apa-apa yang perlu," kata beliau.
Terdahulu, Anwar yang tiba kira-kira 12.30 tengah hari pada majlis tertutup itu turut menyampaikan amanat Presiden dan menyantuni ahli PKR yang hadir.
Sementara itu, Anwar berkata beliau terbuka sekiranya pihak pembangkang mahu membawa usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menganggap perkara terbabit sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang sah.
"Kita terbuka, ini proses yang betul. Nak bawa (usul tidak percaya). Sila bawa. Dia (Datuk Seri Hamzah Zainudin) kata nak bawa (usul) dah tiga tahun dah," kata beliau.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Hamzah yang juga Ketua Pembangkang ketika berucap dalam perhimpunan di Dataran Merdeka semalam, yang mendakwa pembangkang kini sedang mempertimbangkan usul berkenaan untuk dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami