POLITICS
Nurul Izzah pegang pesan Rafizi, apa pun berlaku, tetap sahabat sampai bila-bila

Nurul Izzah berkata, Rafizi sendiri mengatakan kepadanya pertalian sahabat antara mereka kekal sampai bila-bila. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar akan terus memegang erat pesanan penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Rafizi Ramli kepadanya untuk terus bersahabat biarpun salah seorang daripada mereka tidak terpilih untuk jawatan nombor dua parti itu pada Jumaat.
Dalam nukilan yang dikongsikan di media sosialnya, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, Rafizi sendiri mengatakan kepadanya pertalian sahabat antara mereka kekal sampai bila-bila.
Tegasnya lagi, sekiranya salah seorang daripada mereka berjaya memegang amanah tersebut, beliau berharap agar kedua-dua mereka terbuka untuk terus bekerja bersama-sama demi membina parti yang lebih kuat dan bersatu.
“Saya simpan setiap peringatan, komentar, amarah yang dikirim terhadap saya, dan menganggap semuanya datang untuk pastikan parti dan negara kita selamat daripada sebarang bahaya.“Saya akan sentiasa beringat dengan pesanan saudara kepada saya dan apapun yang berlaku pada 23 Mei ini - pertalian sahabat antara kita kekal sampai bila-bila, beserta kenangan saat-saat manis terpaksa bermasam muka secara bersama dalam menghadapi Tun Mahathir Mohamad yang mahukan semua kerusi selamat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, fokus dalam pemilihan PKR bagi penggal 2025-2027 ini terus tertumpu kepada pertembungan di antara Nurul Izzah dan Rafizi untuk merebut jawatan nombor dua parti tersebut.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi, dalam siri Jelajah Hiruknya, mendakwa berlaku kepincangan dalam menentukan pimpinan, termasuk wujudnya gerakan untuk menjatuhkan dirinya serta pemimpin yang dianggap sebahagian daripada kem beliau.
Bagaimanapun Nurul Izzah dalam siri Temu Rapat Akar Umbi, yang turut dikenali sebagai Jelajah Damai, mengambil pendirian untuk tidak bersifat begitu responsif terhadap dakwaan, termasuk pandangan yang mengaitkan beliau dengan unsur nepotisme.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut mengambil maklum dengan sikap penyokong Rafizi yang ‘mempelekehkan’ beliau kerana gagal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang dianggap salah satu kerusi paling selamat untuk PKR.
“Harus kita amati, Rafizi telah bertanding sebanyak tiga kali di kerusi bandar majoriti Cina, dan menang kesemuanya. Saya pula telah bertanding empat kali di kerusi majoriti Melayu dan memenangi tiga daripadanya. Kekuatan inilah yang perlu kita satukan demi meningkatkan pencapaian kita dalam pilihan raya.
“Saya benar-benar percaya bahawa tindakan yang tegas dan berani amat diperlukan agar kita tidak terus kehilangan lebih banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang.
“Kita harus berpegang pada semangat kerjasama dan musyawarah untuk bersatu sebagai sebuah parti yang mampu bersaing secara efektif dalam pilihan raya, bukannya berpecah kerana perbezaan dalaman,” katanya.
Nurul Izzah berkata, isunya bukan semata-mata tentang sokongan 30 peratus pengundi Melayu atau rekod tertinggi 54 peratus yang dicapai parti tersebut pada tahun 1999, seperti yang dibentangkan Rafizi sebelum ini.
Beliau berkata, sebagai sebuah parti berbilang kaum, PKR perlu bergantung pada rakan-rakan gabungan untuk membina asas sokongan yang lebih luas bagi membentuk kerajaan.
“Kita mesti terus memberi perhatian kepada nasib rakyat; Melayu, Cina, India, warga Sabah dan Sarawak. Usaha ini bermula dengan mendengar cabaran harian yang mereka hadapi, dan menggubal dasar-dasar yang memberi kesan nyata kepada kehidupan seharian.
“Apa yang turut dekat di hati saya ialah nasib para pekerja gig tidak formal; ibu dan bapa tunggal serta keluarga mereka. Semua sedang bergelut menghadapi kos sara hidup yang menekan dan berusaha untuk menyediakan keperluan buat orang tersayang. Rakyat perlu diperkasa dan diangkat martabatnya bukan dipinggirkan daripada sokongan ekonomi.
“Saya telah turun bertemu akar umbi, dan saya akan terus mendengar dan menyantuni kesemuanya. Apa yang mendorong saya sejak dahulu bukanlah kuasa dan pangkat, tetapi kesan perubahan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat,” tegasnya.
Justeru Nurul Izzah menegaskan, biarpun apa jua keputusan pada Jumaat, beliau berjanji akan turun kembali ke akar umbi dan meneruskan jelajah untuk terus mendengar suara rakyat, di samping komited untuk memastikan PKR mencapai kejayaan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami