Penyokong Selangor FC mengaku tidak bersalah guna perkataan tidak sopan

Antara penyokong Selangor FC yang hadir di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi menghadapi pertuduhan berkaitan insiden membakar suar di Jambatan Angkat, di sini pada Ahad lepas. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Seorang penyokong Selangor FC didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menggunakan perkataan kurang sopan terhadap seorang pegawai polis berkaitan insiden membakar suar di Jambatan Angkat, di sini pada Ahad lepas.
Berdasarkan pertuduhan, Alfadli Awaludin, 44, didakwa menggunakan perkataan kurang sopan seperti "Takkan mahu bakar suar di dalam hutan, nak suruh beruk tengok ke" terhadap seorang inspektor polis kira-kira 7 petang, pada Ahad lepas di Dataran Jambatan Angkat, di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda hingga RM100 atau penjara sebulan, sekiranya gagal membayar denda.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood membenarkan Alfadli yang mengaku tidak bersalah diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Nur Anith Nabila Rusli, manakala lelaki itu diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.
Sementara itu, lapan lagi penyokong Selangor FC didenda antara RM2,800 hingga RM3,200 selepas mengaku bersalah di hadapan Noor Mazrinie dan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak atas pertuduhan memiliki suar tanpa lesen yang sah pada Ahad lepas.
Noor Mazrinie mengenakan denda RM3,000 terhadap Muhammad Hafiz Azim Abdul Halim, 25; Muhammad Haiqal Jemerizan, 22; dan Muhammad Amrin Abdul Halim, 27, atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.
Selain itu, Muhammad Ashraff Azhar Mohd Radzi, 23; Syafiq Waliuddin Mohd Anuar, 25; Hamizan Zafri Ahmad Fauzansah, 25; Noor Akmal Danish Noor Azli, 26; serta Muhammad Aliff Aiman Norazman, 23, dikenakan denda antara RM3,200 hingga RM2,800, dan kesemua mereka membayar denda yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, lapan lelaki itu didapati membawa suar tanpa lesen sah antara 8.45 malam hingga 9.30 malam Ahad lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain Nur Anith Nabila, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ely Nazihah Ahmad Yunus, manakala semua tertuduh diwakili Ahmad Nur Faid Afiq.
Sebelum ini, lebih 20 penyokong Selangor FC ditahan atas kesalahan memiliki dan positif dadah, selain mengganggu tugas penjawat awam berhubung kekecohan yang berlaku di Jambatan Angkat.
Kejadian kira-kira 6.30 petang Ahad itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super membabitkan Terengganu FC menentang Selangor FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


