KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan, ketika menjadi Perdana Menteri gaji beliau hanyalah RM20,000 sebulan, sementara pendapatan menteri-menteri Kabinet sekitar RM14,000 sahaja.

Bagaimanapun, hari ini, kata negawaran itu, gaji menteri sahaja sudah mencecah RM70,000 seorang.

Selain perbandingan tersebut, Ahli Parlimen Langkawi itu turut berkongsi pengalaman yang beliau hanya menerima RM2,000 semasa menjadi doktor di klinik swasta.

"Dulu saya kerja klinik swasta, dapatlah dalam RM2,000. Itu pun dah cukup banyak," katanya ketika bercakap dalam program Minda Profesor Negara, Bicara Negara yang dianjurkan Majlis Profesor Negara di sini, pada Isnin.

Berkongsi pendapat mengenai politik yang sudah sebati dengan darah dagingnya, Dr Mahathir menegaskan, gelanggang berkenaan kini menjadi rebutan ramai kerana mahu mengejar kekayaan serta pangkat dan darjah kebesaran.

Senario itu, jelas beliau, berbeza dengan aspirasi penggiat politik dahulu yang lebih banyak memberi tumpuan pada memakmurkan rakyat.

"Orang nampak, bila masuk politik dapat duit, gelaran, jadi Datuk, Tan Sri dan sebagainya, tumpuan bukan lagi kepada pembangunan negara, tapi tumpuan utama adalah isi poket," ujar beliau.

BACA: "Mungkin tidak ada pihak yang boleh gugat kedudukan Muhyiddin" - Tun M

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata,  beliau pernah mencadangkan semua jawatan tertinggi seperti Ketua Persuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilantik oleh Parlimen.

Cadangan berkenaan, kata beliau, diperkenalkan bagi mengelakkan mereka yang dilantik menjadi 'Pak Turut' kepada Perdana Menteri.

"Sebab itu, kita cadangkan pemilihan jawatan-jawatan tertinggi hendaklah dibuat oleh Parlimen dan dipersetujui oleh Yang Di-Pertua Agong.

"Tapi sekarang, kalau Perdana Menteri tak puas (hati), boleh ditukar atau tidak dinaikkan pangkat, sebab itu dia kena tunduk.

"Saya lihat ramai yang dilantik (era pentadbiran Pakatan Harapan) sudah dipindah kononnya mereka tak sokong kerajaan," ujarnya.

Kata Dr Mahathir, sebelum ini, mereka yang dipilih atau dilantik terdiri daripada mereka yang profesional dan berkebolehan, namun telah ditukarkan dengan ‘orang yang tidak begitu pandai’ selepas bertukar kerajaan.